Home Semasa Konvoi #Lawan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional

Konvoi #Lawan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jul – Konvoi berkereta #Lawan yang diadakan sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) bergerak diiringi pihak polis di sekitar ibu kota, pagi tadi.

Terdapat kira-kira 10 buah kenderaan mengibarkan bendera hitam sekitar jam 11.30 pagi tadi bermula dari Stesen LRT Bangsar menuju ke Dataran Merdeka sebelum berpatah balik ke stesen terbabit.

Peserta terlibat turut dilihat membunyikan hon dan mengibarkan bendera dengan tulisan ‘kerajaan gagal’.

Konvoi lebih sejam itu turut diadakan serentak di beberapa negeri lain seperti Kedah, Melaka, Johor dan Sarawak.

Difahamkan, konvoi terbabit adalah permulaan kepada perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang akan diadakan pada 31 Julai nanti.

Pada Rabu, Sekretariat Solidariti Rakyat dalam kenyataan menyeru, seluruh rakyat Malaysia untuk #Keluar dan #Lawan pada 31 Julai nanti sebagai simbolik penentangan terhadap kerajaan yang tidak ada kelayakkan memimpin negara.

Sekretariat yang juga penganjur bersama Himpunan #BukaParlimen ini menuntut supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh kabinet beliau untuk berundur, mengadakan sidang Parlimen sepenuhnya serta moratorium automatik untuk semua.

“Sekretariat Solidariti Rakyat menegaskan bahawa kerajaan PN tidak mempunyai kredebiliti untuk menggalas amanah mengemudi negara ini keluar daripada pandemik COVID-19 serta kesannya terhadap ekonomi, kehidupan dan kesihatan rakyat,

“Sudah tiba masanya rakyat mempunyai pemimpin yang sedar diri, bertanggungjawab dan rendah hati dalam memahami denyut nadi rakyat,

“Kita tidak perlukan pemimpin yang sentiasa memperlekehkan derita rakyat dan membuat keputusan yang tidak menguntungkan rakyat,” jelasnya.

Poster mengajak rakyat untuk keluar berkonvoi pada hari ini yang tular di media sosial.

Semalam, pihak polis telah memberi amaran agar orang ramai tidak tidak terpengaruh dengan ajakan atau seruan pihak-pihak tertentu untuk berhimpun serta berkonvoi di ibu negara bagi menyertai kempen #Lawan pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, mengingatkan orang ramai bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuatkuasa dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar SOP tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat berlandaskan kepada undang-undang yang sedia ada.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah poster yang memaparkan perkataan konvoi dengan tanda pagar #Lawan pada pukul 3 petang pada Sabtu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply