Home Semasa COVID-19: Majlis pengebumian, rentas negeri cetus kluster komuniti

COVID-19: Majlis pengebumian, rentas negeri cetus kluster komuniti

by Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Jul – Sebahagian daripada 30 kluster baharu yang dilaporkan semalam berpunca daripada tindakan beberapa individu yang melakukan perjalanan merentas negeri termasuk untuk menghadiri majlis pengebumian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara kluster komuniti baharu dikesan adalah Kluster Jalan Bestari Yayasan yang berpunca daripada kes indeks seorang wanita tempatan berusia 53 tahun dengan mempunyai sejarah perjalanan dari Selangor ke Johor pada 9 Julai lepas bagi satu majlis pengebumian.

Beliau berkata wanita itu didapati positif COVID-19 pada 22 Julai dan hasil 38 ujian saringan yang dilakukan terhadap kontak rapat, seramai 19 orang didapati positif.

“Satu lagi kluster komuniti melibatkan majlis pengebumian ialah Kluster Kerilla yang berpunca daripada kes indeks seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dengan mempunyai sejarah perjalanan merentas negeri dari Klang, Selangor ke Tanah Merah, Kelantan pada 11 Julai lepas.

“Perbuatan itu mengakibatkan sembilan kes positif dikesan hasil ujian saringan yang dilakukan terhadap 23 kontak rapat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Dr Noor Hisham, tindakan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang melakukan sejarah perjalanan merentas negeri dari Kelantan ke Selangor dan Johor pada 10 Julai hingga 15 Julai lepas turut mencetuskan kluster komuniti iaitu Kluster Kampung Baru Bukit Kecil Labok di Machang, Kelantan.

Beliau berkata setakat ini, seramai 12 orang didapati positif hasil 38 ujian saringan yang dilakukan terhadap kontak rapat selepas kes indeks didapati positif COVID-19 pada 18 Julai lepas.

Sebanyak 30 kluster baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara semalam dengan kluster komuniti mengatasi kluster tempat kerja.

Sebanyak 16 kluster merupakan kluster komuniti, lapan merupakan kluster tempat kerja, empat kluster kumpulan berisiko tinggi manakala masing-masing satu kluster keagamaan serta pendidikan tinggi. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply