Home Pertahanan dan Keselamatan APPM Johor rampas syabu disorok dalam tong minyak bernilai RM200 ribu

APPM Johor rampas syabu disorok dalam tong minyak bernilai RM200 ribu

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 22 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor telah berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira 4 kilogram (kg) bernilai RM200 ribu yang disorok di dalam tong minyak di perairan Pulau Merambong pada awal pagi, Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, rampasan dibuat ketika bot ronda APMM sedang melaksanakan rondaan Operasi Jaksa di perairan Tanjung Pelepas.

Menurutnya, dalam rondaan tersebut, pihaknya telah mengesan sebuah bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika barat daya Pulau Merambong sekitar jam 3.00 pagi.

“Sebaik sahaja menyedari dirapati bot ronda APMM, suspek bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek dan melarikan diri ke arah paya bakau berhampiran,

“Bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan suspek itu menggunakan enjin sangkut jenama Suzuki 15 kuasa kuda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan 4 bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu yang disorok dalam sebuah tong minyak dengan setiap satu bungkusan itu dianggarkan seberat satu kilogram.

“Bot kayu suspek beserta enjin telah ditunda ke Jeti Maritim Sungai Pulai, manakala kesemua 4 bungkusan disyaki dadah jenis syabu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut,

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM215 ribu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, APMM memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

“Masyarakat terutamanya komuniti maritim diseru untuk bersama-sama berganding bahu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memerangi jenayah maritim dan penyeludupan dadah serta penyeludupan pendatang asing,

“Sebarang aduan mengenai jenayah maritim di perairan Johor boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian hotline 07 – 219 9404 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply