Home Semasa Vaksin COVID-19: Suntik picagari kosong, CITF jalankan siasatan bersama PDRM, ATM

Vaksin COVID-19: Suntik picagari kosong, CITF jalankan siasatan bersama PDRM, ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Jul – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menjalankan siasatan berhubung aduan mengenai dakwaan petugas menggunakan picagari kosong untuk suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

CITF dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjalankan sisasatan agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

Menurut CITF, kes pertama telah berlaku pada 17 Julai lalu di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah yang dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja.

“Vaksinasi di PPV dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut,

“Satu siasatan dijalankan ATM mengenai kejadian berkenaan dengan individu yang terbabit dipanggil memberi penjelasan. Tindakan tatatertib diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Manakala terdapat 2 lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong iaitu di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Kejadian didakwa berlaku pada 17 Julai lalu dan orang awam yang terbabit telah membuat laporan polis,

“Di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue pula, dakwaan mengenai suntikan palsu ini telah dibuat pada 18 Julai lalu dan dan laporan polis telah dibuat oleh penyelia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit,” ujarnya.

Mengulas lanjut, CITF berkata PDRM kini sedang menjalankan siasatan dan sebarang perkembangan mengenai perkara tersebut akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terbabit dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini,

“Seperti mana prosedur operasi standard (SOP), setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin, sebelum suntikan dilakukan.

“Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply