Home Pertahanan dan Keselamatan Pemeriksaan rumah ke rumah akan diumum pihak polis – Ismail Sabri

Pemeriksaan rumah ke rumah akan diumum pihak polis – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pengumuman mengenai pelaksanaan pemeriksaan rumah ke rumah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut esok.

Beliau berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh PDRM kerana tindakan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan itu.

“Sekarang ini, sekatan jalan raya diperketatkan. Semalam sahaja, ramai (pengguna jalan raya) diarahkan patah balik (kerana tiada surat kebenaran),

“Polis akan lebih tegas sebab esok raya (Aidiladha). Berkenaan pemeriksaan rumah ke rumah pula akan diumumkan pihak polis,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Mindef (Kementerian Pertahanan) Prihatin, di Wisma Pertahanan, hari ini.

Semalam, PDRM melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai lalu, iaitu sebanyak 4,839 sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

Terdahulu, Ismail Sabri merangkap Menteri Pertahanan telah menyempurnakan Pelancaran Program ‘MinDef Prihatin’ yang bertujuan untuk membantu meringankan beban warga pertahanan khususnya mereka yang dikategorikan sebagai asnaf serta B40 yang terjejas dari segi pendapatan isi rumah akibat dari pandemik COVID-19.

Sumbangan prihatin ini mendapat kerjasama dari badan korporat seperti Bank Islam Malaysia Berhad yang menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000 dan sumbangan Amal Ihtimam Korban bagi tahun 1422H/2021M berjumlah RM38,000 sebagai sumbangan zakat dan korban kepada golongan asnaf ATM di Kem Kementah.

Selain itu juga, Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) turut menyumbangkan barangan keperluan asas bernilai RM80,000 bagi menjayakan inisiatif program Mindef Prihatin yang dilancarkan ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Timbalan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply