Home Semasa JIM serbu penempatan PATI, 9 mangsa pemerdagangan diselamatkan

JIM serbu penempatan PATI, 9 mangsa pemerdagangan diselamatkan

by Nurulhuda

SABAH, 11 Jul – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah menjalankan operasi Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dengan menyerbu 2 lokasi berasing di daerah Semporna.

Operasi dijalankan di rumah yang tidak bernombor di Sekolah Kebangsaaan Pekan Semporna dan sebuah rumah di atas air di Kampung Terusan Hujung Batu, Pulau Bum-Bum di daerah Semporna pada 8 dan 9 Julai lalu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dalam kenyataan berkata, anggotanya telah menyelamatkan 9 orang mangsa wanita warganegara Filipina yang ditipu selepas dijanjikan pekerjaan lumayan di negara timur tengah terutamanya di Jordan dan Dubai.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami berjaya menyelamatkan 9 mangsa wanita berusia 25 hingga 40 tahun,

“Semua mangsa mengaku terpedaya dengan pujukan dan tipudaya seorang wanita warganegara Filipina yang giat beroperasi mencari mangsa dalam kalangan warganegara yang sama,

“Setiap mangsa dikenakan bayaran ribuan ringgit sehingga mencecah RM13,000 bagi setiap bayaran perkhidmatan,”menurut kenyataan itu.

Muhamad Sade berkata, pihaknya turut menahan 2 lelaki serta seorang wanita warganegara Filipina berusia 28 hingga 40 tahun yang disyaki sebagai dalang dalam aktiviti tersebut.

“Ketiga-tiga anggota sindiket pemerdagangan orang telah ditahan di Depot Tahanan Imigresen Papar dan mangsa sindiket telah ditempatkan di Pusat Pelindungan Wanita Kota Kinabalu,

“Semua mangsa serta suspek ditahan akan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID- 19,

“Semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya,” katanya.

Pada masa yang sama, Muhamad Sade pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas mana-mana orang yang terlibat dengan aktiviti memperdagang serta menyeludup migran di negeri Sabah.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus melaporkan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia dengan berperanan sebagai mata serta telinga kepada kerajaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply