Home Pertahanan dan Keselamatan Bot nelayan tempatan, 5 kru Myanmar ceroboh perairan negara ditahan

Bot nelayan tempatan, 5 kru Myanmar ceroboh perairan negara ditahan

by Nurulhuda

LUMUT, 10 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 5 orang kru termasuk tekong warga Myanmar yang menceroboh perairan negara, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kelas C berkenaan ditahan di kedudukan 8.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak, di sini, pada 10 malam.

Beliau berkata, bot berkenaan didapati melakukan aktiviti perikanan di kawasan Zon B dan tindakan itu melanggar syarat sah lesen.

“Pemeriksaan mendapati bot bot kelas C tersebut dikendalikan 5 kru termasuk tekong dan disyaki menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan di kawasan terlarang Zon B dengan tidak mematuhi syarat sah lesen,

“5 kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun disyaki warga Myanmar didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, semalam.

Menurutnya, kesemua mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan jika disabit kesalahan mereka juga boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 iaitu melanggar syarat sah lesen.

“Kesemua kru dan tekong, bot serta hasil tangkapan ikan dianggarkan 80 kilogram diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Setiawan Perak bagi siasatan dan tindakan lanjut’

“Penahanan ini membuktikan bahawa APMM sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,”ujarnya.

Pada masa yang sama, Shahrizan berkata, APMM tidak tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan Negara,

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada pihak berkuasa dengan kadar segera,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply