Home Semasa Kediaman Muhyiddin jadi tumpuan hari ini

Kediaman Muhyiddin jadi tumpuan hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Kenderaan dipercayai membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, dan 2 orang menteri telah keluar dari kawasan kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Bukit Damansara, sebentar tadi.

Kenderaan pertama dilihat keluar pada jam 12.35 tengah hari sebelum 3 lagi kenderaan keluar secara berselang beberapa minit kemudian.

Terdahulu, dilaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri Kabinet berkumpul di kediaman Muhyiddin.

Turut kelihatan memasuki kediaman Muhyiddin adalah kenderaan membawa Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga disahkan bertemu dengan Muhyiddin manakala Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hadir lebih awal.

Pertemuan di kediaman Muhyiddin pagi ini dipercayai berkait dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tengah malam tadi yang memaklumkan penarikkan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dengan serta merta.

Ahmad Zahid dalam satu sidang media maya yang disiarkan di laman media sosial rasmi UMNO itu turut mendesak agar Perdana Menteri agar berundur secara terhormat.

Menurut sumber, Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply