Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tekong agresif, sanggup langgar anggota saya – Pegawai Gerakan Op Benteng

Tekong agresif, sanggup langgar anggota saya – Pegawai Gerakan Op Benteng

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=v-bdPKyqQ0o[/embedyt]

 

Dalam usaha kerajaan memperkasakan OPERASI BENTENG (Op Benteng) dengan kawalan ketat di sempadan negara, masih terdapat tekong darat dan laut yang berani menjadi dalang dalam menyeludup masuk atau keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara ini.

Sehingga hari ini, ada diantara rakyat tempatan mahupun warga asing yang sanggup menjadi dalang atau orang tengah menjalankan aktiviti penyeludupan PATI.

Ketika pihak berkuasa mempergiatkan rondaan dan kawalan bagi mengekang kebajiran PATI ini, ada diantara tekong ‘tidak senang duduk’ sehingga bertindak kasar dan agresif terhadap pihak berkuasa yang sedang menjalankan tanggungjawab mereka.

Pengalaman tersebut dikongsikan sendiri oleh Pegawai Gerakan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terlibat dalam Op Benteng di kawasan sempadan selatan tanah air kepada Air Times News Network baru-baru ini.

Mejar Fairuz menjelaskan kejadian hampir dilanggar kenderaan yang dipandu tekong menjadikan beliau dan anggotanya sentiasa lebih berhati-hati ketika malaksanakan tugas yang diamanahkan.

Kejadian di Sungai Buntu

Pengalaman tersebut tidak sesekali mematahkan semangat juang Mej Fairuz dan anggotanya untuk terus membanteras kemasukan PATI ke dalam negara.

“Kejadian masa itu berlaku di Sungai Buntu, jalan besar menghala ke rapid pengerang. Saya sedang mengatur gerak anggota di tepi jalan pada waktu pagi, membahagi anggota untuk menjadikan kumpulan penyekat bagi mengepung PATI yang melarikan diri,

Mejar Fairuz menceritakan pengalaman sepanjang beliau dan anggotanya bertugas dalam Op Benteng di Selatan tanah air. Foto: AirTimes/ Azuwan

“Tiba-tiba sebuah kenderaan cuba untuk melanggar saya di bahu jalan dengan niat ingin melanggar anggota saya dan dipercayai kenderaan tersebut adalah kenderaan yang dipandu oleh tekong darat dan ulat-ulatnya,” katanya kepada Air Times.

Kebiasaanya tindakan agresif ini dilakukan oleh kumpulan sokongan kepada tekong darat yang dibayar untuk mendapatkan maklumat dan mengganggu proses penangkapan dilakukan.

Tekong darat ini juga, mempunyai kumpulan yang tertentu dimana mereka akan melaksanakan helah dan muslihat dengan meletakkan kumpulan tertentu untuk mengalih pandangan anggota pasukan kepada PATI ini.

Selain itu, Fairuz berkata, anggotanya juga pernah menggunakan kekerasan terhadap tekong yang bertindak agresif ketika mereka sedang melaksanakan tugas mereka.

“Ada juga kes, dimana anggota pasukan terpaksa bergelut dengan salah seorang tekong. Mereka terpaksa menggunakan sedikit kekerasan bila mereka (tekong) mula bertindak ganas. Walau bagaimanapun, disebabkan anggota dan tim yang ada melebihi tekong yang datang menyerang, mereka berjaya menumpaskan tekong tersebut,” jelasnya.

Pendapatan tekong hingga 5 angka

Hasil soal siasat terhadap PATI yang ditahan, difahamkan mereka terpaksa membayar RM1,000 hingga RM2,000 seorang kepada tekong untuk satu perjalanan ke perairan negara.

Contoh perjalanan PATI daripada Batam ke perairan Johor kira-kira RM1,000 ke RM2,000 seorang.

Salah satu tangkapan yang berjaya dilakukan oleh anggota pasukan di sempadan perairan negara. Foto: AirTimes/ Azuwan

Manakala bagi PATI kering yang ingin pulang ke negara asal pula RM1,500 hingga RM3,000 iaitu bergantung kepada lokasi. Sebuah bot ini boleh menempatkan seramai 32 orang PATI dalam satu masa.

“Daripada itu kita dapat lihat bahawa kehadiran PATI ini memberikan pendapatan yang besar kepada tekong-tekong laut dan darat yang terlibat,

“Kemungkinan besar, dengan aktiviti agresif yang dilakukan oleh pasukan keselamatan telah mengganggu pendapatan meraka (tekong),” jelas Fairuz.

Berdasarkan kepada maklumat perisikan yang diperolehi dan serta soal siasat yang dilaksanakan terhadap PATI, tekong-tekong laut kebiasaannya adalah datang daripada negara jiran.

Pegawai pasukan turut melaksanakan soal siasat kepada PATI yang ditahan untuk mendapatkan maklumat berkenaan tekong dan kemasukan PATI yang lain. Foto: AirTimes/ Firdaus

Manakala tekong darat adalah terdiri daripada penduduk tempatan dan warga negara asing yang telah tinggal lama menetap di sini.

Terdapat juga PATI yang bertindak sebagai ‘penarik’ untuk membawa PATI yang tiba di tepi pantai dibawa kepada tekong.

Modus Operandi tekong/PATI

Berdasarkan pemerhatian dan laporan tangkapan yang sebelum-sebelum ini, modus operandi kemasukan PATI sentiasa berubah-ubah bagi mengaburi mata pasukan keselamatan.

“Sebagai contoh sekiranya satu lokasi telah dibuat tangkapan dikawasan tersebut, mereka (tekong) tidak lagi menggunkan kawasan tersebut,

“Mereka akan berhenti untuk menggunakan lokasi berkenaan di kawasan tersebut dan pergi ke kawasan yang lain,” ujarnya.

Laluan yang sering digunakan untuk dijadikan pertemuan di antara PATI dan tekong darat sempadan negara. Foto: AirTimes/ Firdaus

Selain khidmat tonto, tekong turut menggunakan dron bagi mengawasi pergerakan dan mengelirukan anggota pasukan keselamatan dari menahan PATI yang cuba lolos keluar dan masuk di sempadan negara.

Dron turut digunakan oleh tekong bagi mengesan gerak-geri pasukan keselamatan sebelum aktiviti pendaratan PATI basah (ingin masuk) dilakukan atau menjadi panduan PATI kering merapat ke pantai.

PATI juga akan menggunakan keadaan sekeliling contohnya, PATI kering mereka akan pergi ke pantai melalui longkang-longkang ataupun sungai. Ada juga satu kes dimana PATI melalui terowong air untuk paip air besar terus pergi ke tepi pantai.

Dipahamkan juga, PATI kering (PATI ingin pulang) menggunakan dan memanfaatkan keadaan sekeliling seperti longkang mahu pun sungai-sungai berhampiran untuk menuju ke kawasan persisir pantai bagi mengelak dari dikesan pasukan keselamatan.

“Ada satu kes, di mana PATI dikesan melalui terowong air untuk menuju ke pantai,

“Selain itu, pulau-pulau berhampiran pantai turut digunakan tekong laut untuk menurunkan PATI sewaktu air pasang dan mereka (PATI) akan berenang ke daratan ketika keadaan laut surut,” ujarnya.

Tekong laut akan melepaskan PATI di pulau tersebut pada waktu air pasang. Apabila air surut, PATI akan terus berenang ke pantai untuk ke lokasi yang dijanjikan oleh tekong sebelum mereka dilepaskan.

PATI yang ditahan turut dilaksanakan saringan dokumen dan kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto: AirTimes/ Faizie

“Tempoh masa tangkapan biasanya dilakukan selang sehari atau dua. Sekiranya kita dapat dalam tempoh tiga hari, kita akan kaji balik bagaimana perkara itu berlaku. Contohnya, PATI menggunakan saliran air untuk terus ke pantai, itu mungkin perkara yang baru dimana dengan cara tersebut mereka dapat mengelak daripada dikesan pasukan keselamatan,

“Apa yang dilakukan oleh kami (pasukan tentera) sentiasa belajar apa yang PATI laksanakan. Maklumat daripada soal siasat yang dilaksanakan sangat membantu dimana daripada situ kita akan belajar apa modus operandi yang mereka digunakan,” ujar Fairuz.

Secara asasnya, taktik-taktik dalam peperangan sangat membantu di dalam operasi untuk membanteras kemasukan PATI ke dalam negara. Sebagai contoh, apabila PATI mendarat di sebuah kawasan, anggota pasukan terlebih dahulu akan mengenal pasti kawasan tersebut dan membuat pengepungan serta penjejakkan untuk mencari PATI berkenaan.

“PATI yang berlari itu biasanya kita tangkap di tempat yang kita block itu. Jadi, itu adalah satu taktik yang diguna pakai semasa CIW (Counter-Insurgency Warfare) di hutan,

“Jadi, yang lain tu dari segi penjejakan kita biasanya anggota-anggota saya dilatih untuk menjejak PATI berdasarkan kepada kesan-kesan di hutan dan sebagainya,” ujarnya.

Bangga dapat kekalkan kedaulatan negara

Mej Fairuz menjelaskan, pasukannya telah menyediakan pegawai dan anggota yang mencukupi untuk diaturgerakkan sebilang masa bagi mengawasi sempadan perairan negeri Johor ini.

“Tempoh masa aturgerak untuk anggota disini adalah 24 jam sehari. Aturgerak adalah menggunakan jumlah anggota yang ramai untuk kita memenuhi keperluan dan misi yang telah ditetapkan,

“Terdapat juga pada satu masa, pasukan memerlukan jumlah yang ramai untuk diaturgerakkan bagi melaksanakan tangkapan terhadap PATI yang dikesan,

“Ada kalanya kami terpaksa mengerakkan pegawai dan anggota yang sedang berehat, tetapi mereka tetap bersemangat dan bangga untuk melaksanakan operasi ini kerana operasi ini adalah operasi sebenar,

“Perasaan bangga untuk mengekalkan kedaulatan negara mengatasi rasa letih dan kepenatan yang kami ada,” jelasnya.

Segala apa yang diusahakan dan dilaksanakan ini adalah untuk menjamin keamanan serta keselamatan negara demi untuk kedaulatan negara.

“Jadi, saya berharap bahawa bukan hanya pasukan keselamatan membanteras kemasukan PATI dan penyeludupan tetapi perlunya bantuan daripada semua agensi yang terlibat supaya operasi ini boleh dilaksanakan dengan sewajarnya,

“Kami bangga dengan apa kami laksanakan. Masa dan titik peluh kami semua itu adalah perkara yang kedua yang penting tugas diutamakan,” tambahnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply