Home Semasa Pulau Pinang beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara Rabu ini

Pulau Pinang beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara Rabu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Jul – Kerajaan hari ini memutuskan negeri Pulau Pinang akan beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Rabu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri tersebut telah mencapai 3 indikator utama iaitu purata jangkitan harian selama 7 hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100 ribu iaitu 9.5 kes per 100 ribu.

Menurutnya, kadar penggunaan katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU) turut mencapai tahap sederhana (moderate) dan penilaian Capacity to Respond yang berada pada tahap memadai serta kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus.

“Berdasarkan 3 indikator ini dan penilaian terperinci agensi-agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai 2021,

“Bagi negeri-negeri yang telah berjaya beralih ke fasa 2, adalah dinasihatkan untuk teruskan usaha melindungi komuniti anda daripada jangkitan COVID-19 dan tingkatkan prestasi negeri masing-masing supaya dapat beralih ke fasa seterusnya,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Menurutnya, usaha ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan sektor-sektor ekonomi dan sosial di negeri-negeri yang berkenaan.

Sabtu lalu, Ismail Sabri telah mengumumkan negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis telah memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN berkuat kuasa hari ini.

“Kelima-lima negeri berkenaan telah mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus,

“Dan mendapati kapasiti katil ICU bagi menyediakan rawatan kepada pesakit COVID-19 di negeri terbabit turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply