Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 898 penduduk Taman Mewah, Kelemak dikepung dengan kawat duri

898 penduduk Taman Mewah, Kelemak dikepung dengan kawat duri

by Nurulhuda

MELAKA, 5 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited membantu kerajaan dengan mengaturgerakkan anggota dan aset bagi menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pihaknya telah mengaturgerakkan 24 anggota termasuk seorang pegawai dari Rejimen Semboyan Divisyen Ketiga Infantri (3 RSD) dan Skuadron Kesembilan Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 Skn RAJD) bagi melaksanakan pemasangan pagar kawat duri di Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah, Jumaat lalu.

Pemasangan ini adalah susulan daripada pengumuman PKPD yang berkuat kuasa pada 3 hingga 16 Jul 2021 akibat pertambahan kes melibatkan penduduk di kawasan tersebut yang dianggarkan seramai 898 penghuni di 6 buah blok penginapan dan satu blok rumah kedai.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan PKPD dilaksanakan ekoran peningkatan kes positif COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan sebanyak 55 kes positif COVID-19 di kawasan tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut berkuat kuasa 3 Julai sehingga 16 Julai 2021,

“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply