Home Semasa Malaysia terima 1 juta dos vaksin sumbangan AS esok

Malaysia terima 1 juta dos vaksin sumbangan AS esok

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Malaysia akan menerima sumbangan 1 juta dos vaksin Pfizer secara percuma dari kerajaan Amerika Syarikat, esok.

Perkara ini dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

“Amerika Syarikat sumbang 1 juta dos vaksin Pfizer secara percuma kepada Malaysia yang mana ia bakal tiba di tanah air esok,

“Terima kasih kepada rakan sejawat saya, Antony Blinken dan kerajaan Amerika Syarikat atas sumbangan vaksin ini serta pelbagai lagi bentuk bantuan kepada Malaysia sejak pandemik COVID-19 melanda tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, beliau dan Antony Blinken akan terus berkongsi komitmen demi memastikan hubungan erat Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat bersama khususnya di era pasca pandemik.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata Malaysia bakal menerima sumbangan bekalan vaksin COVID-19 dari Amerika Syarikat dan China dalam tempoh terdekat.

Pada 1 Jul lalu, Malaysia telah menerima 1 juta dos vaksin AstraZeneca sumbangan kerajaan Jepun yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply