Home Semasa Semua kerja pembinaan di kawasan PKPD dihentikan serta merta

Semua kerja pembinaan di kawasan PKPD dihentikan serta merta

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Jul – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan semua kerja pembinaan dan yang berkaitan dengannya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dihentikan serta merta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telah diterima tidak boleh digunakan untuk meneruskan kerja pembinaan sepanjang tempoh PKPD.

“Namun, pengeculian diberikan kepada kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian yang bersifat kritikal berdasarkan janji temu,

“Bagi menjalankan kerja-kerja di atas, pihak yang terbabit boleh mendapat kebenaran daripada balai polis terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, KKR menggesa semua penggiat industri pembinaan untuk mematuhi arahan semasa dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan penurunan kes COVID-19 di kawasan terbabit.

Menurutnya, SOP terkini boleh dirujuk di laman web MKN dan maklumat lanjut berkenaan SOP serta garis panduan industri pembinaan boleh didapati menerusi telegram rasmi CIDB Malaysia https://t.me/cidbmy, laman web rasmi CIDB di www.cidb.gov.my atau hubungi CIDB Careline di talian 03-5567 3300.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD dilaksanakan di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 sehingga 16 Julai 2021.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan trend jangkitan yang tinggi di kedua-dua lokaliti di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MKN. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply