Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia terima peralatan PPE dari Australian Border Force

Maritim Malaysia terima peralatan PPE dari Australian Border Force

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 2 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) daripada Australian Border Force (ABF).

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski kepada Ketua Pengarah Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som di ibu pejabat APMM Putrajaya, semalam.

Mohd Zubil berkata, APMM amat berbesar hati serta berterima kasih atas sumbangan peralatan terbabit memandangkan ia adalah keperluan utama bagi kegunaan anggota sewaktu melakukan tugasan di perairan.

Beliau berkata, peralatan terbabit turut digunakan di premis agensi APMM di seluruh negara.

“Pegawai dan anggota APMM merupakan antara petugas barisan hadapan negara yang tidak terkecuali menerima ancaman jangkitan COVID-19 terutamanya apabila melakukan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di laut yang melibatkan pemeriksaan ke atas bot-bot nelayan tempatan dan asing,

“Peralatan juga digunakan ketika penahanan ke atas penjenayah maritim yang melakukan aktiviti penyeludupan sama ada dadah, barang-barang kawalan mahupun pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Antara peralatan yang diterima adalah 350,000 helai pelitup muka (face mask), 750 botol 500ml gel pencuci tangan (hand sanitiser), 750 kotak sarung tangan getah (latex glove), 100 unit alat pengesan haba inframerah mudah alih (hand held infrared thermometers) serta 1500 pek peralatan perlindungan peribadi (personal protective equipment) berupa baju perlindungan diri pakai buang.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menetapkan prosedur baharu yang mewajibkan setiap pegawai dan anggota yang terlibat dengan aktiviti penguatkuasaan dan CARILAMAT mengenakan peralatan PPE sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, agensi penguat kuasa Australia iaitu ABF pula merupakan rakan strategik kepada APMM. Kedua-dua agensi ini sentiasa bekerjasama dalam memerangi jenayah rentas sempadan sebagai acara tahunan di dalam Operasi Redback XV yang baharu sahaja selesai dilaksanakan di Langkawi pada 23 hingga 29 Jun 2021 yang lalu selain sentiasa bertukar-tukar kemahiran dan kepakaran dalam bidang tugas penguatkuasaan dan CARILAMAT.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply