Home Semasa Surat palsu: Polis sahkan terima laporan pegawai Istana Negara

Surat palsu: Polis sahkan terima laporan pegawai Istana Negara

by Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima laporan wakil dari pihak Istana Negara berhubung surat yang kononnya ditulis Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan Ahli Parlimen.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata laporan berkenaan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata pengadu merupakan pegawai Istana Negara membuat laporan itu selepas menerima kiriman mesej WhatsApp tertera surat menggunakan kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).

“Pengadu telah terima mesej dari aplikasi WhatsApp mengatakan pihak Istana Negara ada terima surat daripada BN bagi tujuan pembentukan Kerajaan Malaysia yang baharu,

Pengadu kemudian membuat semakan dengan pihak Istana Negara dan mendapati surat itu tidak diterima oleh pihak istana dan mengesyaki cap terima itu adalah palsu,” katanya kepada Bernama semalam.

Anuar berkata pihaknya, kini sedang menyiasat perkara terbabit di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Pada Khamis, Setiausaha Akhbar Hishammuddin, Mohd Hafiz Ariffin membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung satu surat ditulis kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mendakwa Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN mendapat sokongan untuk menjadi perdana menteri yang baharu.

Menurutnya, surat itu palsu dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi Hishammuddin serta mewujudkan kekeliruan orang ramai. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply