Home Pertahanan dan Keselamatan 636 anggota tentera, keluarga terima suntikan vaksin PPV pandu lalu di Sabah

636 anggota tentera, keluarga terima suntikan vaksin PPV pandu lalu di Sabah

by Nurulhuda

LOK KAWI, 26 Jun – Seramai 636 orang yang terdiri daripada 67 anggota tentera, 439 ahli keluarga, 69 kakitangan awam Kementerian Pertahanan dan 61 anggota Askar Wataniah (AW) telah menerima suntikan vaksin pada program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat Malaysia (TDM).

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam hantaran di media sosialnya berkata, program ini melibatkan 4 orang pegawai dan 66 petugas kesihatan yang dilaksanakan melalui 3 saluran serta 6 stesen suntikan dibuka bagi memudahkan proses tersebut dijalankan.

Menurutnya, objektif pelaksanaan program ini adalah mempergiatkan proses vaksinasi secara sistematik dan selesa dengan kapasiti pelaksanaan yang lebih besar bagi merealisasikan imuniti kelompok negara selain menjimatkan masa proses pelaksanaan vaksin dijalankan,

“Pelaksanaan program seumpama ini akan dilaksanakan pada peringkat seterusnya secara setempat mengikut lokasi di Kem Kabota, Tawau dan Kem Sri Kinabatangan, Sandakan,

“Inisiatif Program Vaksinasi Pandu Lalu ini akan dilaksanakan kepada keluarga ATM dan juga kakitangan awam Kementerian Pertahanan bertujuan bagi memastikan imuniti kelompok yang lebih sejahtera daripada ancaman pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, program ini bergantung kepada penerimaan bekalan vaksin tersebut,” jelas Markas 5 Div.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meninjau perkembangan program Vaksinasi Pandu Lalu yang dilaksanakan di Kem Lok Kawi, Sabah, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus mendokong hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan imuniti kelompok, bertujuan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini.

Tambahnya, ia juga bagi memastikan agar warga ATM dan keluarga mereka serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang menanggung risiko penugasan sebagai petugas barisan hadapan (frontliners) tidak akan dijangkiti oleh wabak yang boleh membawa maut ini.

Pada sidang media pula, beliau menjelaskan, kerajaan komited menentukan agar kesemua warga ATM menerima suntikan vaksin bagi memastikan pasukan ini mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada keseluruh penerima.

Beliau menegaskan, pemberian vaksin kepada anggota tentera amat penting sebagai persediaan dalam mempertahankan negara.

Pelaksanaan Program Vaksinasi Pandu Lalu di Kem Lok Kawi ini merupakan kesinambungan kejayaan program tersebut yang telah dilaksanakan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dan Kem Muara Tuang, Sarawak sebelum ini.

Ianya merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan dan ATM bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin keluarga ATM dan juga kakitangan awam Kementerian Pertahanan untuk memastikan sasaran imuniti kelompok berjaya dicapai serta akan dikembangkan ke Kem Kabota, Tawau dan Kem Sri Kinabatangan, Sandakan pada fasa kedua nanti.- airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply