Home Pertahanan dan Keselamatan 37 PATI Indonesia, 3 tekong warga tempatan dicekup

37 PATI Indonesia, 3 tekong warga tempatan dicekup

by Nurulhuda

BANTING, 23 Jun – Batalion ke-4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih telah menahan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam 2 tangkapan berbeza di sekitar Kelanang, Banting, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, turut ditahan adalah 3 lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 59 tahun dipercayai tekong darat dalam operasi tersebut.

Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan sekitar jam 8.30 pagi selepas polis menahan 3 kenderaan yang dipandu 3 lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan di pesisir Pantai Kelanang anggota telah menemui 27 PATI warga Indonesia termasuk 18 wanita berusia 26 hingga 51 tahun.

“Kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai PATI yang baru memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,

“Hasil siasatan juga mendapati 3 lelaki tempatan yang ditahan dipercayai tekong darat dan berperanan sebagai ‘transporter’ untuk membawa PATI keluar dari lokasi pendaratan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Manakala tangkapan kedua pula, beliau berkata, ia dilakukan pada jam 9.45 pagi membabitkan 10 warga Indonesia iaitu 8 lelaki dan 2 wanita berusia 26 hingga 42 tahun yang ditahan di ladang kelapa sawit di Jalan Kelanang, Morib.

Rizal menjelaskan, kesemua PATI berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai cuba keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut) dengan menggunakan bot.

“Turut dirampas, 3 kenderaan dan telefon bimbit pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai rampasan berjumlah RM109,600,

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963,

“PATI akan menjalani ujian saringan COVID 19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Rizal menyeru masyarakat agar terus memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply