Home Semasa Kerajaan ambil langkah susulan berdasarkan Perlembagaan

Kerajaan ambil langkah susulan berdasarkan Perlembagaan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara selaras menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata, kerajaan mengambil maklum titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara semalam.

“Dalam sesi menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong seblum ini, Muhyiddin telah menyembah maklum dan menasihati Baginda mengenai perjalanan pengurusan pandemik COVID-19, penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,

“Selain itu, Muhyiddin juga telah menyembah maklum pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang parlimen, Pelan Pemulihan Negara serta perkara-perkara lain yang berkaitan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Titah Baginda, Parlimen yang berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.

Titah tersebut dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu atas inisiatif Al-Sultan Abdullah diadakan bagi membincangkan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Kesemua Raja-Raja Melayu hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V difahamkan tidak menghadiri sesi kali ini.

Dalam pada itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata, Raja-Raja Pemerintah menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang dengan segera.

Raja-Raja Pemerintah berpandangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang mengikut kaedah dan pelaksanaan seperti yang diamalkan di beberapa negara yang berjaya mengawal penularan wabak COVID-19. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply