Home Semasa COVID-19: Penggunaan katil ICU kini melebihi 100 peratus – Dr Noor Hisham

COVID-19: Penggunaan katil ICU kini melebihi 100 peratus – Dr Noor Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jumlah pengunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 di dalam negara telah melebihi 100 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kemasukan pesakit COVID-19 di ICU menunjukkan peningkatan sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 dan ke-21 iaitu masing-masing antara 25 April hingga 1 Mei dan 23 Mei hingga 29 Mei.

Menurutnya, tren yang sama dilihat berterusan terutama bagi tempoh 2 minggu seterusnya iaitu pada 6 Jun hingga 12 Jun lalu.

Kes jangkitan COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak menunjukkan penurunan yang ketara dengan jumlah penggunaan katil melebihi 100 peratus.

“Walaupun terdapat penurunan kes baharu harian bagi tempoh 2 minggu lockdown iaitu mulai 1 Jun, kes-kes COVID-19 di ICU masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara,

“Hal ini berikutan kemunculan varian-varian baharu yang mengakibatkan kes-kes dikesan dengan gejala serius (kategori 4 dan 5) dan merosot pada kadar yang lebih cepat,

“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity),

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil yang melebihi kapasiti juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan oleh komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius.

Tambahnya, secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan di ICU adalah di antara 19 hari ke 26 hari.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, beberapa persiapan dan langkah-langkah telah dilakukan oleh KKM termasuk menambah kapasiti katil-katil bagi iaitu sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19.

Selain itu, penggunaan katil repurpose bed turut dinaik taraf di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19 turut dilaksanakan.

“KKM turut bekerjasama dengan hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Hospital Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia,

“Selain itu, kementerian turut menjalinkan kerjasama bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini 6 buah Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM,

“Kita turut bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU” tambahnya,

Pada masa yang sama, beliau memohon masyarakat untuk kekal mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Sehingga semalam, Malaysia telah merekodkan sebanyak 5,150 kes baharu dan 73 kes kematian akibat COVID-19.

Jumlah pesakit yang disahkan sembuh dari wabak ini adalah sebanyak 7,240 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di negara ini meningkat kepada 600,935 kes. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply