Home Semasa Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa – Muhyiddin

Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan hari ini merangkumi 4 fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 3 indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Indikator Pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian dan Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU),

“Manakala, Indikator Ketiganya pula ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima 2 dos suntikan vaksin,” katanya dalam Perutusan Khas mengenai Pelan Pemulihan Negara, hari ini.

Menurutnya, Pelan Pemulihan Negara ini merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Bagi Fasa Kedua pula Muhyiddin menjelaskan ia merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.

“Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis,

“Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup, manakala, senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor,

“Selain itu, aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan bagi Fasa Kedua,” jelasnya.

Muhyiddin menjelaskan, Fasa Ketiga akan melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

Tambahnya, daripada Fasa Ketiga, negara akan dapat beralih kepada Fasa Keempat sekiranya nilai purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes.

“Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.

“Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat,

“Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini,”ujarnya.

Perdana Menteri turut berkata, pelan ini dirangka selepas mendapati keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyebabkan negara kehilangan RM1 bilion setiap hari.

“Sehubungan itu, kerajaan telah umumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion ringgit dan berharap bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan,

“Namun, kita tidak boleh berterusan begini. Demi kesihatan dan kelangsungan hidup kita semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini,

“Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat,” tambahnya.

Muhyiddin menjelaskan, pelan ini mengambil kira ancaman COVID-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.

“Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhatihati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy,

“Di samping itu, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply