Home Semasa Polis tahan lori bawa pekerja kilang positif COVID-19

Polis tahan lori bawa pekerja kilang positif COVID-19

by Nurulhuda

SUNGAI PETANI, 14 Jun – Polis menahan sebuah lori yang membawa sekumpulan pekerja warga asing memakai gelang kuarantin di Sungai Petani selepas video dan gambar insiden berkenaan tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lori tersebut ditahan ketika ia sedang membawa kumpulan tersebut dari sebuah kilang ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda kira-kira jam 5 petang semalam.

Kesemua mereka dipercayai daripada sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong.

“Terdahulu video dan beberapa gambar sebuah lori membawa sekumpulan pekerja warganegara asing di sekitar kawasan Sungai Petani yang berdurasi selama 19 saat tular di media sosial menyebabkan pihak polis berusaha mengesannya,

“Gambar dan video tersebut menunjukkan beberapa individu yang berada di dalam lori tersebut memakai gelang kuarantin berwana merah jambu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kemudian mengesan lori terbabit dan menahan lori dan pekerja-pekerja warga asing ketika sedang dalam perjalanan pulang ke Sungai Lalang.

“Hasil siasatan mendapati terdapat kes positif dikesan di sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong dan 135 pekerjanya diarah ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bagi dipakaikan gelang merah jambu,

“Dipercayai majikan kilang berkenaan mengatur 3 kali perjalanan lori terbabit untuk membawa semua 135 pekerja yang positif COVID-19,” tambahnya.

Adzli berkata, lori yang ditahan kereta peronda polis itu membawa kumpulan terakhir pekerja kilang untuk pulang ke asrama.

“Seramai 48 pekerja kilang berada dalam lori itu dikesan positif COVID-19 dengan keadaan tangan bergelang merah jambu dan diarah dikuarantin di asrama,

“Pemandu lori itu kemudian disaman kerana kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain,” ujarnya.

Pihak pengurusan kilang turut disiasat Seksyen 22 (b) Akta 342 kerana kesalahan tidak mematuhi perintah dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.

Dalam masa yang sama, Adzli turut menasihati supaya orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular berkaitan kejadian tersebut.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply