Home Semasa Tangunggawab Jemaah Menteri nasihat Agong lanjut atau tidak darurat – Takiyuddin

Tangunggawab Jemaah Menteri nasihat Agong lanjut atau tidak darurat – Takiyuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jemaah Menteri bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam membuat keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat dilanjutkan atau tidak.

Beliau berkata, baginda bertindak atas nasihat Kabinet mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan ketika Proklamasi Darurat diisytiharkan pada bulan Januari lalu bagi menangani COVID-19.

“Pejabat ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan,

“Beliau turut dilaporkan berkata bahawa kini hanya Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin memaklumkan, pada 11 Januari lalu, baginda telah mengisytiharkan darurat atas nasihat Jemaah Menteri selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah atas asas tanggungjawab utama dan khusus kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat di dalam negara ini dapat terus dipelihara.

“Oleh yang demikian, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara baginda sepertimana yang dibangkitkan tidak seharusnya timbul,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan-tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 di kalangan rakyat dengan lebih efektif.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat,

“Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara,

“Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisma yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply