Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Marin serbu penempatan PATI, 9 termasuk 4 wanita ditahan

Polis Marin serbu penempatan PATI, 9 termasuk 4 wanita ditahan

by Nurulhuda

TAWAU, 12 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama PPM Tawau telah memberkas 9 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 2 serbuan berasingan di Kampung Tawau lama, semalam.

Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superitendan Mohd Nazari Ismail berkata, serbuan ini dilaksanakan hasil risikan dan maklumat Unit Gempur Marin (UNGERIN) Tawau yang mengesan rumah tersebut yang dijadikan penempatan PATI ini.

Menurutnya, kesemua PATI terdiri daripada 5 lelaki dan 4 wanita warga Indonesia.

“Tangkapan pertama dibuat pada jam 5.05 pagi di sebuah rumah tidak bernombor yang disyaki menempatkan 5 orang PATI telah diserbu dan diperiksa pasukan berkenaan,

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 2 wanita itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini. Kesemua mereka berumur lingkungan 16 tahun hingga 35 tahun telah ditahan,” katanya dalam hantaran di Facebook PPM Wilayah 4, Sabah pada Jumaat.

Dalam serbuan kedua pula, anggota pasukan telah menahan 2 orang lelaki dan 2 wanita yang sedang bersembunyi di kebun pisang kawasan sekitar dari tangkapan pertama dibuat.

“Mereka yang berumur 14 tahun hingga 42 tahun ini juga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah,” jelasnya.

Beliau berkata, semua PATI berkenaan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Tawau atas kesalahan dibawah Akta Imigresen 1961,” ujarnya.

Tambah Mohd Nazari, pihaknya mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pasukan keselamatan agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply