Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM tahan tekong warga tempatan, 3 PATI Indonesia di Tawau

ESSCOM tahan tekong warga tempatan, 3 PATI Indonesia di Tawau

by Nurulhuda

TAWAU, 12 Jun – Cubaan seorang lelaki warga tempatan menyeludup masuk 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ke daerah ini secara haram gagal apabila ditahan oleh anggota ESSCOM yang melakukan rondaan Opersai Cegah PATI (OCP) daratan, pagi tadi.

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan berkata, mereka yang disyaki baru tiba dari negara jiran itu, ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan MYVI biru di Kampung Hidayat, batu 4, Jalan Apas, Tawau.

Beliau berkata, anggota keselamatan yang terdiri daripada 6 anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), 5 anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) ketika melakukan rondaan OCP Daratan telah menahan sebuah kenderaan MYVI biru dalam keadaan mencurigakan di tepi kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, terdapat seorang pemandu bersama 2 lelaki dan 1 wanita berada dalam kenderaan tersebut,

“Siasatan lanjut mendapati kesemua mereka mengaku berasal daripada Sungai Pancang, Indonesia melalui laluan yang tidak sah untuk menyusup masuk ke daerah ini dengan menaiki bot menggunakan jalan laut,

“Turut ditahan seorang tekong darat warga tempatan berumur 57 tahun yang disyaki turut terlibat dalam aktiviti berkenaan”, katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang berumur antara 25 hingga 57 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002.

“Turut disita sebuah kenderaan MYVI Biru yang telah digunakan dalam kegiatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM 20,000.00,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan OCP Daratan ESSCOM di daerah ini terutamanya kepada semua anggota Bn 14 PGA dan 6 RAMD yang terlibat dalam operasi ini.

Tambahnya, kejayaan ini merupakan hasil kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik PATI yang menggunakan lorong-lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.

Ahmad Fuad berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.

 

Related Articles

Leave a Reply