Home Semasa Tun M sembah cadangan tubuh MAGERAN 2.0 kepada Agong

Tun M sembah cadangan tubuh MAGERAN 2.0 kepada Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menangani masalah utama ketika wabak COVID-19 pada masa ini.

Beliau berkata, penubuhan MAGERAN akan diberi kuasa untuk menyelesaikan beberapa masalah dihadapi negara. Namun Baginda menegaskan bahawa pembentukan MAGERAN haruslah datang dari pihak kerajaan sendiri (Perikatan Nasional (PN)).

“Agong tidak kata tidak, tetapi titah baginda, cadangan pembentukan Mageran harus datang daripada pihak kerajaan,

“Tapi saya ragu-ragu kerajaan akan cadangkan perkara ini,” katanya dalam sidang media yang dilakukan secara maya sebentar tadi.

Tun M yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menawarkan sumbangan dalam penubuhan itu sekiranya ia ditubuhkan.

“Kita tahu cara-cara untuk selesaikan masalah COVID-19, ekonomi, politik dan sosial. Kita ada idea tetapi kalau kita di luar kerajaan maka sukar dilaksanakan,

“Mungkin cadangan-cadangan ini boleh kerajaan ambil tetapi antara cadangan dengan amalan ada perbezaan yang banyak,

“Kita boleh buat cadangan tetapi kalau tidak tahu untuk melaksanakan, ia tidak akan jadi,

“Sebab itu, saya cadangkan bahawa penubuhan seperti MAGERAN agar dapat menyelesaikan beberapa masalah di negara ini,” tegasnya.

Tun Mahathir turut yakin penubuhan badan seperti yang pernah memimpin negara pada 1969 hingga 1971 susulan tragedi 13 Mei mampu mengawal pandemik yang melanda negara.

“Kita (PEJUANG) berpendapat MAGERAN mungkin berjaya kerana akan masuk pakar-pakar dalam pelbagai bidang tidak semestinya orang politik,

“Kami sendiri dapat cukup maklumat dan membincangkan tentang MAGERAN. MAGERAN boleh mengatasi soal jumlah kes baharu (COVID-19) terutamanya dalam mengurangkan kes kematian,” tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan tidak mengetahui bagaimana pendirian parti lain tentang cadangan tersebut.

Terdahulu, Ahli Parlimen Langkawi itu tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kira-kira pukul 1.50 tengah hari tadi.

Mahathir merupakan pemimpin parti politik yang ketiga menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pagi tadi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply