Home Pertahanan dan Keselamatan Top Loading Fridge tambah keupayaan ATM kekang penularan COVID-19 di Sabah

Top Loading Fridge tambah keupayaan ATM kekang penularan COVID-19 di Sabah

by Nurulhuda

SABAH, 9 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sumbangan 3 buah Top Loading Fridge (TLF) yang disumbangkan oleh Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP bagi menambah keupayaan dan kemampuan ATM dalam membendung wabak pandemik COVID-19 di negeri Sabah.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam hantaran di media sosialnya berkata, TLF tersebut akan disumbangkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan pasukan di negeri Sabah iaitu B Kompeni 1 Batalion Perubatan, Kem Lok Kawi, 824 Rumah Sakit Angkatan Tentera Lahad Datu, dan Pusat Perubatan Angkatan Tentera KD Sri Sandakan.

Penyerahan TLF ini telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 93 Depot Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera, Kolonel Mohd Adlan Adnan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau, semalam.

“TLF akan digunakan oleh Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) bagi membantu ATM dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) seterusnya dapat membendung penularan wabak pandemik COVID-19 di negara ini,

“TLF yang dapat mengekalkan suhu penyimpanan vaksin COVID-19 pada julat 2 hingga 8 darjah celsius ini akan menambah keupayaan dan kemampuan ATM dalam menyimpan dan memberi vaksin COVID-19 kepada warga tentera, keluarga dan veteran oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” kata kenyataan itu.

Menurutnya, perkara ini seharusnya mampu mencapai objektif nasional dalam mewujudkan imuniti kelompok melalui pelaksanaan PICK dalam mengekang penularan wabak pandemik ini di dalam negara.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply