Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM pintas, usir nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

TLDM pintas, usir nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

by Nurulhuda

KUANTAN, 8 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memintas dan mengusir beberapa buah bot nelayan asing di kedudukan lebih kurang 60 batu nautika dari Pangkalan TLDM Kuantan, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, pengusiran tersebut dibuat hasil dari pengesanan melalui radar KD LEKIU yang melaksanakan operasi di kawasan tanggungjawab.

“2 buah Fast Combat Boat (FCB) yang membawa Quick Reaction Team (QRT) dari Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian,

“Hasilnya, kesemua bot nelayan asing berjaya diusir dan sebuah darinya ditahan,” katanya.

TLDM menjelaskan bot nelayan yang berjaya ditahan didapati membawa 21 orang awak-awak warganegara Vietnam berumur dalam lingkungan 20 hingga 32 tahun.

TLDM turut menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 21 awak-awak berumur dalam lingkungan 20 hingga 32 tahun dalam operasi yang dijalankan di kedudukan lebih kurang 60 batu nautika dari Pangkalan TLDM Kuantan. Foto: TLDM

“Mereka didapati membuat penangkapan ikan secara haram, tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan yang sah,

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM 1.2 juta,” tambahnya.

Menurutnya, FCB yang dibina oleh syarikat tempatan ini berjaya membuktikan keupayaan TLDM dalam memerangi ancaman di perairan negara.

“Perolehan aset berkenaan memainkan peranan penting dalam operasi pemintasan, rondaan pesisir pantai dan sebagai aset sokongan terhadap keperluan operasi maritim yang lain,

“TLDM tidak akan berkompromi dalam sebarang aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara,

“TLDM juga akan sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset demi kedaulatan perairan negara serta akan meneruskan kerjasama yang padu bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain,” tambahnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply