Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 21 PATI diberkas ceroboh sempadan negara

Op Benteng: 21 PATI diberkas ceroboh sempadan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan wabak COVID-19 di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan keselamatan turut merampas 5 kenderaan darat dalam operasi tersebut.

“Sebanyak 242 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 9 aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 964 Sekatan Jalan Raya (SJR), semalam.

“Sebanyak 912 SJR melalui Operasi Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA. Manakala Op Benteng PDRM sebanyak 43 SJR dan Op Benteng AKSEM (9),” tambahnya.

Selain itu, menerusi Task Force Pematuhan pula, Ismail menjelaskan, semalam PDRM telah menahan 970 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu, seramai 917 individu telah dikompaun manakala 49 lagi direman,

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuklah tiada penjarakan fizikal (265); tidak memakai pelitup muka (203); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (133); gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (120); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (177); membawa penumpang berlebihan (111) dan lain-lain(21),” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply