Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 kapal asing bersauh secara haram di Perairan Johor

APMM tahan 2 kapal asing bersauh secara haram di Perairan Johor

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 8 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Johor telah menahan sebuah kapal tangki dan bot tunda bersama tongkang kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Hong Kong itu telah ditahan pada kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Siang manakala bot tunda berdaftar dari Singapura pula telah ditahan di kedudukan 1.8 batu nautika timur Tanjung Ayam.

Beliau berkata, kedua-dua buah vesel ditahan sekitar jam 12.00 tengah hari semalam berikutan laporan pengesanan yang telah diterima oleh pihaknya sebelum mengarahkan sebuah kapal dan bot ronda untuk ke lokasi sasaran pengesanan.

“Penahanan pertama dilakukan terhadap bot tunda berserta tongkang yang dikendalikan 5 kru warga Indonesia mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 29 tahun hingga 50 tahun,

“Penahanan kedua pula dilakukan terhadap kapal tangki yang dikendalikan oleh 21 kru warga Indonesia juga mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 23 tahun hingga 58 tahun,

“Bagaimanapun, kedua-dua nakhoda kapal didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.

Nurul Hizam berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali,

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 45 buah kapal telah ditahan dalam Operasi Jangkar Haram dan menjadikan keseluruhan kes dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh APMM negeri Johor bagi tahun 2021 sebanyak 63 kes.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dipatuhi sebelum memasuk serta bersauh di perairan Malaysia.

“APMM akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply