MUAR, 7 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor telah merampas 171 kotak rokok yang dianggarkan bernilai RM 1,282,500.00 di Jalan Siera 6, Pusat Komersial Sierra Maharani, semalam.
Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisoner Muhd Zailani Abdullah berkata, serbuan dilakukan melalui Operasi Kontraban bersama pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada jam 4.30 petang.
Beliau menjelaskan, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil pemantauan hampir 48 jam di lokasi sebelum menyerbu premis berkenaan.
“Serbuan telah menjumpai sejumlah kotak berwarna coklat di dalam premis dipercayai rokok tidak bercukai kastam,
“Pemeriksaan lanjut, mendapati 8,550 karton rokok pelbagai jenama di dalam kotak bewarna coklat yang disembunyikan di dalam permis dipercayai stor transit,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM Wilayah 2, hari ini.
Muhd Zailani berkata, nilai rampasan berjumlah RM 1,282,500.00 termasuk cukai Kastam dan kes disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Menurutnya, pasukan PPM Wilayah Dua akan sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan perairan negara dari dibolosi sindiket penyeludupan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan dari dikesan serta ditangkap oleh pihak berkuasa.
“Operasi bersepadu dengan pihak IPD dan Balai Polis pesisir pantai akan ditingkatkan bagi membanteras sindiket ini,
“Pasukan turut menyeru kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti menyalahi undang-undang di persisiran pantai kepada pihak berkuasa demi kedaulatan negara,” tambahnya. -airtimes.my