Home Semasa Hanya 10 surat kementerian, agensi diterima pakai dalam SJR mulai esok – PKN

Hanya 10 surat kementerian, agensi diterima pakai dalam SJR mulai esok – PKN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Hanya 10 jenis surat kebenaran daripada agensi dan kementerian sahaja termasuk surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diterima pakai dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) seluruh negara mulai esok.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan berkata, PDRM telah menyenaraikan kesemua jenis surat berkenaan sebagai dokumen yang dibenarkan bagi menyokong hasrat kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Menurutnya, semua surat berdasarkan sektor yang diluluskan, akan diterima di sekatan jalan raya untuk pergerakan antara rumah pekerja dan tempat kerja mereka dalam tempoh PKP 3.0.

Senarai surat kebenaran agensi kementerian yang dibenarkan adalah seperti berikut:

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti): Pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan
  • Kementerian Pengangkutan: Pengangkutan awam dan barang keperluan
  • Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi): Pertanian / Perikanan / Pertanian /
    Perladangan / Komoditi. MAFI hanya akan mengeluarkan surat kebenaran untuk pekebun kecil.Bagi mereka yang berlesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mesti mendapatkan surat dari MITI. (COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0))
  • Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi termasuk buah sawit, getah dan lain-lain. Permit atau pemegang lesen Lembaga Getah Malaysia dibenarkan menggunakan surat yang dikeluarkan oleh lembaga atau kementerian. Sementara itu, pengeluar produk berasaskan getah diminta untuk mendapatkan surat dari MITI.
  • Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor Institusi kewangan, insurans
  • Suruhanjaya Sekuriti: Sektor perdagangan saham
  • Kerajaan Tempatan: Peniaga kecil / penjaja /Food Truck. Pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan Strata/sisa pepejal dan sanitasi surat pengesahan akan dikeluarkan
  • Kementerian Komunikasi dan Multimedia: Telekomunikasi / media / pos / kurier / penyiaran
  • Kementerian Dalam Negeri: Semua surat yang dikeluarkan oleh agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarela Malaysia (RELA) akan diterima pakai bagi pergerakan.
  • Polis: Surat kebenaran daripada polis akan dikeluarkan untuk mereka yang bekerja sendiri, dan juga kebenaran melintasi sempadan untuk urusan kecemasan dan pengebumian.

Acryl berkata, semua surat mesti bertarikh mulai 1 Jun 2021, dan individu yang dijumpai tanpa surat yang dibenarkan atau surat yang telah tamat tempoh akan diperintahkan untuk patah balik sekiranya ditahan di SJR.

Selain itu, bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara dan penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada polis secara one off.

Malah, bagi pekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu untuk ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen, invois pembayaran gaji dan sebagainya, kebenaran PDRM hanya akan diberi secara one off iaitu bagi tempoh 2 atau 3 hari sahaja dan surat pengesahan majikan perlu dikemukakan sebagai bukti.

“Bagi pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui MITI (CIMS 3.0),

“Bagi pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes-kes yang baharu (reman Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah) hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di SJR,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Arcyl menegaskan, individu yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu, akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Orang ramai diingatkan agar mengemukan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian dan agensi yang dibenarkan,

“PDRM juga memohon masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha melandaikan lengkuk penularan wabak COVID-19,

“Sekiranya terdapat aduan mengenai pematuhan dan pelanggaran SOP PKP, salurkan melalui malaysian government call centre (mygcc) di talian 03-8000 8000, atau melalui emel ke [email protected] / [email protected],” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply