Home Semasa 5 lokaliti di Sabah, Sarawak dan Pahang dikenakan PKPD mulai Sabtu ini

5 lokaliti di Sabah, Sarawak dan Pahang dikenakan PKPD mulai Sabtu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di 3 lokaliti di Sabah, masing-masing 1 di Sarawak dan Pahang berkuatkuasa pada 5 hingga 18 Jun 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut melibatkan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah di Sarawak; Kampung Pengaraban di Kudat, 4 lokaliti di Tawau dan Kampung Sugud, Penampang di Sabah serta Ladang Chin Teck, Muadzam Shah di Rompin, Pahang.

Beliau berkata, PKPD di Rumah Panjang Sigah anak Lak dilaksanakan berikutan peningkatan kes positif apabila sebanyak 37 kes telah direkodkan hasil daripada 87 ujian saringan yang dilakukan dengan kadar positiviti 42.53 peratus.

Bagi PKPD Kampung Pengaraban pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 24 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 8 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti sebanyak 33.33 peratus.

“Selain itu, 4 lokaliti di Tawau dikenakan PKPD berikutan pengesanan KKM yang telah merekodkan sebanyak 96 kes positif iaitu 16 kes di Taman Melenium, Taman Wawasan (3), Kawasan Semarak (55) dan Kampung Jawa Kongsi 10 (12),

“KKM pula telah mengesahkan peningkatan kes mendadak dalam masa seminggu iaitu 12 kes positif telah dikesan hasil daripada 223 ujian saringan di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah,

“Peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan 12 kes positif direkodkan hasil daripada 29 ujian saringan di Kampung Sugud, Penampang, Sabah,” katanya dalam kenyataan mengenai perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM bagi menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya ia dapat diasingkan secepat mungkin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 2 lagi PKPD dilanjutkan sehingga 18 Jun depan membabitkan PKPD Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat di Kelantan serta PKPD 15 Mukim dalam daerah Besut di Terengganu.

“KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di lokaliti tersebut,” jelasnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply