Home Pertahanan dan Keselamatan 56,174 pegawai dan anggota ATM telah terima 112,348 dos vaksin COVID-19

56,174 pegawai dan anggota ATM telah terima 112,348 dos vaksin COVID-19

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Seramai 56,174 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sebanyak 112,348 dos vaksin COVID-19 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat ATM, sejak Februari lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jenaral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, pemberian dos vaksin ini berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana pegawai dan anggota ditempatkan.

“Pemberian vaksin ini juga termasuk kepada petugas pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Markas National Task Force (NTF),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Affendi berkata, pada Jun ini, ATM menerima 81,900 dos vaksin bagi meneruskan program vaksinasi kepada anggota ATM.

“ATM juga di jangka menerima kuota tambahan vaksin yang akan diberikan kepada veteran ATM dan ahli keluarga warga ATM,

“Setelah selesai program vaksinasi keseluruhan warga ATM, veteran dan ahli keluarga, Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) akan membantu negara di dalam menyelesaikan Program Imunisasi Kebangsaan di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif ‘herd immunity’.

Jelas Affendi, ATM turut diberi kepercayaan penuh dalam membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Bagi menjayakan program berkenaan, ATM telah merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin bagi memastikan keseluruhan program imunisasi yang dirangka oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) dapat dilaksanakan dengan teratur, mencapai matlamat serta mengurangkan sebarang pembaziran penggunaan vaksin berkenaan,

“Melalui CITF yang diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dengan dibantu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Panglima Tentera Darat, ATM berperanan kepada koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara,” katanya lagi.

Tambahnya, wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu KKM dan CITF merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV.

“ATM juga dipertanggungjawabkan sebagai koordinator pengurusan program di PPV Mega untuk mengkoordinasi para petugas bukan kesihatan terutama petugas keselamatan di PPV yang terdiri daripada PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),

“Peranan dan penglibatan aktif ATM dalam program imunisasi ini akan membantu mengekang penularan wabak COVID-19 bukan sahaja di kalangan warga petugas barisan hadapan malah di kalangan masyarakat Malaysia keseluruhannya,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply