Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM tahan 21 PATI Indonesia cuba masuk secara haram di Tawau

ESSCOM tahan 21 PATI Indonesia cuba masuk secara haram di Tawau

by Nurulhuda

TAWAU, 31 Mei – Cubaan 21 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini secara haram gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Operasi Cegah PATI (OCP) Daratan ESSCOM, kelmarin.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua PATI terbabit ditahan ketika bersembunyi di kawasan semak sepanjang persisir pantai perkampungan atas air di batu 3.5 Jalan Apas, jam 7.43 malam.

Menurutnya, kesemua PATI terbabit dipercayai baru tiba di negara ini menggunakan bot laju dan sedang menunggu tekong darat untuk menghantar mereka ke destinasi seterusnya.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka terdiri daripada 7 lelaki dewasa, 11 wanita dan 3 kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 70 tahun.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota keselamatan yang diketuai ESSCOM mengesan kehadiran 21 individu terbabit dalam keadaan mencurigakan,

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua PATI terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi hantaran di laman sosial ESSCOM, hari ini.

Beliau berkata, kesemua PATI berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Ahmad Fuad berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama semua pasukan keselamatan terutamanya dalam menggagalkan taktik PATI yang menggunakan lorong tikus masuk ke negara ini.

“Pasukan ESSCOM yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) akan terus mengetatkan kawalan keselamatan di perairan dan daratan negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad menggesa seluruh masyarakat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan terutama dalam menyalurkan maklumat mengenai kemasukan PATI dan jenayah renats sempadan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba bersubahat dan bersekongkol melindungi PATI masuk secara haram ke negara ini,” tegasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply