Home Politik Moratorium pinjaman bank antara 7 syarat PH sokong ‘total lockdown’

Moratorium pinjaman bank antara 7 syarat PH sokong ‘total lockdown’

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Pakatan Harapan (PH) menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH dalam kenyataan menyatakan sokongan itu dibuat dengan mengenakan 7 syarat yang perlu dipenuhi oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

Antara 3 daripada 7 yang dikemukakan adalah menuntut kerajaan memberikan bantuan ‘one off’ kepada golongan B40 dan M40, melaksanakan moratorium pinjaman bank selama 3 bulan serta memberi rebat bagi bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada rakyat.

Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan bekalan barangan keperluan harian yang mencukupi, memastikan harga barang keperluan tidak naik dan memastikan penghantaran barangan keperluan ke destinasi tidak terhalang.

“Kerajaan juga perlu memastikan bantuan berupa bakul makanan mesti sampai kepada rakyat yang memerlukan,” jelas kenyataan iu.

Jawatankuasa itu dianggotai Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang); Hassanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat); Chong Chieng Jen (DAP-Stampin); Natrah Ismail (PKR-Sekijang); V Sivakumar (DAP-Batu Gajah); Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu); dan Cha Kee Chin (DAP-Rasah).

Semalam, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bermula Selasa ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply