Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Sunyi, PKPD bermula jam 12 tengah malam

Sunyi, PKPD bermula jam 12 tengah malam

by Nurulhuda

CHERAS, 28 Mei – Seluruh kawasan perumahan di Pangsapuri Permai, Kuala Lumpur dilihat sunyi apabila anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) mula melaksanakan pemasangan pagar kawat duri di lokaliti tersebut.

Pemasangan pagar kawat duri ini adalah sejajar dengan pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan kesemua blok perumahan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa malam tadi hingga 10 Jun 2021.

Sehubungan itu, TDM telah mengaturgerakan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) dalam melaksanakan pemasangan pagar kawat duri di kawasan berkenaan yang berkeluasan 1,400 meter persegi.

Penugasan ini diketuai oleh Penolong Pegawai Memerintah 1 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd Fuad Mat Ghazali yang bertanggungjawab mengaturgerak anggota untuk membuat kawalan dan pemerhatian ke atas kawasan tersebut bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 dalam komuniti.

Tinjauan Air Times di lokasi turut mendapati anggota polis turut mengadakan kawalan di pintu masuk ke kawasan yang menempatkan 5 blok pangsapuri berkenaan.

Kerja-kerja pemasangan pagar kawat ini dilaksanakan pada jam 12 tengah malam tadi dan dijangka siap pagi ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, PKPD di kawasan tersebut dilaksanakan ekoran peningkatan kes positif harian COVID-19 yang dikesan dalam tempoh 10 hari.

Sehingga semalam, sebanyak 78 kes positif telah dikesan hasil daripada 101 ujian saringan yang dilakukan di Pangsapuri Permai.

Pada 24 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan kewujuduan kluster Landai Permai yang dikesan melalui saringan individu bergejala.

Dalam masa yang sama, anggota 1 RAMD dan 91 Rej Bantuan RAJD juga telah melaksanakan pemasangan pagar kawat duri di Pangsapuri Sri Penara yang dikenakan PKPD bermula malam tadi. -airtimes.my

Galeri gambar:

 

 

Related Articles

Leave a Reply