Home Semasa Kecuaian manusia antara salah satu punca LRT bertembung – Ka Siong

Kecuaian manusia antara salah satu punca LRT bertembung – Ka Siong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sedang meneliti secara terperinci berhubung presepsi yang semakin meluas bahawa ‘kecuaian manusia’ adalah punca nahas membabitkan 2 tren Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ‘faktor manusia’ hanyalah salah satu aspek dalam siasatan kerana banyak lagi faktor keseluruhan teknikal dan operasi turut diteliti.

“Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada 9 orang yang diketuai oleh Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak telah memulakan siasatan dari pelbagai aspek, termasuk berkaitan kecuaian manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan bagi melihat bagaimana dan mengapa halangan keselamatan dilanggar sehingga menyebabkan insiden itu berlaku, serta memberi cadangan agar insiden sama tidak berulang demi menjamin keselamatan pengguna.

“Keselamatan sistem pengangkutan LRT sebagai kepentingan awam tidak boleh dikompromi. Oleh itu, aspek keselamatan mesti menjadi perkara utama,

“Jawatankuasa Siasatan juga akan meminta pandangan pihak luar yang memiliki kepakaran masing-masing supaya dapat membantu melengkapkan laporan akhir,” tambahnya.

Sementara itu, Ka Siong berkata kakitangan (hostler) yang terlibat dalam kejadian berkenaan juga disahkan negatif dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 25 Mei lalu, sehubungan itu, individu tersebut wajar diberi hak bagi memudahkan siasatan tanpa rumusan awal.

Dalam masa yang sama, Ka Siong menjelaskan, seramai 67 orang mangsa telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur, yang mana 61 sudah discaj dan 6 masih dalam rawatan dengan 3 mangsa bawah zon kritikal.

“Kami sekali lagi melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa serta mendoakan agar mangsa segera sembuh. MOT akan terus berhubung dengan pihak hospital untuk mendapatkan perkembangan mangsa,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply