Home Semasa Darurat: Bukan masa berdebat cari kesalahan dan kelemahan – Abdul Hadi

Darurat: Bukan masa berdebat cari kesalahan dan kelemahan – Abdul Hadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, sekarang bukan masanya untuk berdebat mencari kesalahan dan kelemahan, sebaliknya seluruh rakyat perlu bersatu padu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa serta politik dalam tempoh darurat kesihatan ini.

Beliau berkata, rakyat perlu bersatu menangani penularan COVID-19 kerana jangkitan wabak ini tidak mengenal mangsanya dan bentuk serangan virus terbabit yang sedang dihadapi kini sudah berubah.

Menurutnya, Malaysia ketika ini bertindak menangani penularan wabak itu dengan menyediakan kumpulan barisan hadapan, yang terdiri daripada pasukan perubatan sehinggalah pasukan polis dan tentera.

“Oleh kerana wujud perubahan perkembangan wabak dari semasa ke semasa di seluruh dunia, maka tindakan susulan dan perubahan tertentu terpaksa dilakukan bagi membendung situasi terkini,

“Saya membaca berita yang dilaporkan di media perdana dan sebahagiannya di media sosial, bahkan saya juga membaca apa yang tersurat serta tersirat di sebalik laporan berita tersebut,

“Sepatutnya semua pihak berperanan menyedarkan masyarakat seperti perlunya suntikan vaksin kerana Islam meletakkan turutan menjaga nyawa adalah wajib diutamakan, sehingga dihalalkan perkara yang haram dalam ayat-ayat al-Quran,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, para ulama maqasid al-syari‘ah menyenaraikan mengikut tertib keperluan hidup manusia yang wajib dijaga iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah serta menjaga harta.

“Ayat yang disebutkan di atas meletakkan peranan agama bagi menentukan hukum, bahawa menjaga nyawa itu hendaklah diutamakan melebihi perkara-perkara yang lain. Sehingga dihalalkan perkara yang haram, semata-mata ingin menjaga nyawa,” ujarnya.

Tambahnya, kaedah darurat juga terpakai kepada pihak polis yang menjalankan siasatan dan tentera yang sedang berperang. Maka sempadan kebebasan dan hak antara Islam dengan teori liberal Barat adalah berbeza.

“Termasuklah apa yang berlaku pada hari ini telah mempengaruhi golongan ilmuwan Islam yang mengkaji Islam di Barat, sehingga terdapat dalam kalangan mereka itu yang terpengaruh dengan ajaran para orientalis,

“Wujud perkataan lain yang mempunyai persamaan maksud seperti perkataan keadilan, kebebasan, kemerdekaan dan hak asasi manusia, akan tetapi, konsep tersebut berbeza dari segi prinsip serta sempadan yang telah ditentukan oleh hukum Islam dengan teori Barat,

Maka, jangan mudah berkata-kata tanpa mempunyai ilmu khususnya dalam perkara agama,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Abdul hadi berkata, dalam keadaan darurat ini, ia juga boleh merosakkan imej agama sendiri dan membawa kemudaratan ke dalam masyarakat umum khususnya bagi menunaikan kewajipan dalam memelihara nyawa.

“Para ulama khususnya para mufti perlu berijtihad secara berjamaah, jangan memberikan pendapat secara berseorangan kerana masanya tidak sesuai untuk menonjolkan diri masing-masing,” katanya.

Tambahnya, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kempen politik bagi memperkecilkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun para menteri yang menjalankan tugas ketika tempoh darurat.

“Bahkan pada masa inilah, undang-undang darurat yang tegas demi menjaga nyawa manusia mesti dikenakan terhadap mereka yang tidak menghormati kepentingan masyarakat umum, khususnya pengamal media yang menyalahgunakan kebebasan media dalam suasana seperti hari ini,

“Termasuklah agamawan yang menyanggah pelaksanaan perintah kuarantin, SOP dan pengambilan vaksin sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam,

“Tugas pakar perubatan dan pihak keselamatan juga menjadi jihad fardhu ‘ain yang besar pahalanya kerana mengorbankan nyawa,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply