Home Pertahanan dan Keselamatan Field ICU ATM di Kepala Batas beroperasi sepenuhnya Selasa ini

Field ICU ATM di Kepala Batas beroperasi sepenuhnya Selasa ini

by Air Times News Network

KEPALA BATAS, 23 Mei – Unit Rawatan Rapi Medan (ICU) Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Kepala Batas (HKB) dijangka mula beroperasi sepenuhnya Selasa ini.

Markas ATM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, atur gerak ICU Hospital Medan ini melibatkan 3 pegawai dan 30 anggota daripada 2 Batalion Ubat, 2 Pakar Bius dari Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan 2 Pakar Teknikal Operasi Hospital Medan.

Manakala dari segi peralatan, ia dilengkapi dengan 3 Modul ICU, satu Modul X-Ray, 3 khemah Uitilis TM 54, 7 khemah Utilis TM 26, aset-aset perubatan dan logistik am.

“Panglima Briged Ke-6 Infantri Malaysia (6 Bgd), Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abd Aziz diletakkan sebagai Pemerintah Operasi dan Pegawai Memerintah 2 Batalion Ubat, Leftenan Kolonel (Dr) Zamri Derahman pula sebagai Komander yang dipertanggungjawabkan dalam aspek pengurusan dan pengoperasian ICU Medan berkenaan,” katanya.

Katanya, ICU Medan di Hospital Kepala Batas ini mampu menempatkan 24 pesakit kritikal COVID-19.

ICU Medan ini merupakan satu sistem Hybrid yang menggunakan kombinasi Modul Kontena dan Kompleks Khemah Utilis serta akan dilengkapi peralatan perubatan

“Sistem ICU Medan ini merupakan satu sistem Hybrid yang menggunakan kombinasi Modul Kontena dan Kompleks Khemah Utilis dan akan dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan,

“Konsep Pengoperasian Multi-Agensi akan di guna pakai bagi operasi ini,” ujarnya.

Kerja-kerja pemasangan hospital medan itu telah bermula pada 18 Mei lalu dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Cawangan Kesihatan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div).

Hari ini, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi telah mengadakan lawatan teknikal bagi melihat pengoperasian dan kesiagaan ICU Medan tersebut.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh; Panglima 2 Div, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Asmayani Khalib dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Di dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini, ATM komited membantu negara dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 melalui bantuan kesihatan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT).

“PKAT telah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam aspek-aspek preventif dengan melaksanakan ujian saringan di zon-zon merah dan di lapangan terbang serta pintu-pintu masuk negara,

“Ia juga turut membantu di dalam perancangan, pembinaan dan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Makeshift Treatment Centre di Pokok Sena, Kedah, Hospital Medan ATM Tawau, Sabah dan Hospital Medan ATM Kapit, Sarawak,” kata hantaran itu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply