Home Semasa UMNO sokong PKP penuh minimum 21 hari, antara 8 syarat diberikan kepada kerajaan

UMNO sokong PKP penuh minimum 21 hari, antara 8 syarat diberikan kepada kerajaan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO konsisten agar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat perlu dilaksanakan bagi membendung peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, peningkatan kes COVID-19 amat membimbangkan dan memerlukan tindakan drastik daripada kerajaan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat tetap dipelihara.

Oleh demikian, UMNO mengemukakan 8 syarat kepada kerajaan antaranya PKP penuh minimum 21 hari seperti Hong Kong, Vietnam dan Singapura.

“PKP yang akan dilaksanakan sehari sebelum hari Raya Aidilfitri, namun hakikatnya masih membenarkan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa sedangkan fakta menunjukkan lambakan kluster jangkitan COVID-19 yang berpunca daripada sektor perkilangan, tapak pembinaan dan pusat membeli-belah,

“Kerajaan seharusnya melaksanakan PKP yang ketat dengan menutup semua sektor ekonomi dan sosial selama 21 hari,

“PKP yang sekadar hangat-hangat tahi ayam ini tidak akan membantu mengurangkan kes jangkitan COVID-19 ini dan buktinya ialah PKP 2.0 serta pelaksanaan darurat sebelum ini yang tidak menyumbang langsung kepada pengurangan kes jangkitan COVID-19,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, semalam.

Kedua, kerajaan harus segera mewajibkan mewajibkan sektor perbankan melaksanakan moratorium 2 hingga 6 bulan tanpa apa-apa syarat dalam usaha mengurangkan beban rakyat ketika PKP 3.0 ini.

“Sepanjang PKP 1.0 dan 2.0, sektor perbankan masih mampu menjana keuntungan, seharusnya kerajaan tegas memastikan kebajikan rakyat terbela dengan memberikan moratorium tanpa syarat,” ujarnya.

Ketiga, tambahan bantuan prihatin rakyat disegerakan dan dilaksanakan serta-merta.

“Bantuan-bantuan ini tidak hanya memfokuskan kepada B40 semata-mata tetapi juga kepada golongan M40 serta pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS),

“Kerajaan PN harus pertimbangkan untuk meneruskan i-lestari dan I-Sinar sementara bantuan one-off  diberikan kepada sektor yang terjejas teruk ketika ini seperti pelancongan dan IKS. Bantuan pinjaman kewangan juga harus disediakan oleh kerajaan kepada rakyat,” jelasnya.

Keempat, UMNO mendesak kerajaan segera memperuntukkan komputer riba sebanyak 150 ribu agar dipercepatkan dan ditambah unit kepada pelajar dari 500 sekolah yang belum diterima oleh para pelajar.

“Komputer riba diberi terus kepada pelajar dan bukannya diberikan sebagai pinjaman. Malah, pemberian komputer riba harus meliputi semua pelajar peringkat rendah dan menengah dan bukannya bertumpu kepada 150,000 pelajar sahaja,

“Persekolahan boleh diteruskan secara maya dan pastinya akan mengurangkan beban ibu bapa dan melancarkan pembelajaran secara maya,” katanya.

Manakala kelima, program imunisasi negara harus diperhebatkan. Walaupun negara pada fasa pertamanya berjaya mencapai sasaran imunisasi dengan 895,204 penerima satu dos suntikan vaksin namun Malaysia dilihat jauh kebelakang dalam mencapai sasarannya melibatkan fasa kedua dan ketiga yang melibatkan hampir 23 juta rakyat Malaysia.

Seterusnya keenam, program bakul makanan RM100 melalui Skim bantuan PERMAI 2021 diperhebatkan.

“Bakul makanan ditambah dan melonggarkan syarat penerimaannya serta dicadangkan untuk turut memfokuskan isi keluarga M40,

“Ekonomi yang lembap dan kegagalan pengurusan krisis pandemik ini turut menjejaskan golongan M40 maka adalah wajar untuk pertimbangkan keluarga M40 untuk turut menjadi penerima program bakul makanan ini,” ujarnya.

Ketujuh, Urban Transformation Center (UTC) dan Rural Transformation Center (RTC) harus bertindak sebagai Pusat Hentian Setempat atau One Stop Centre dalam pengagihan bantuan kerajaan seperti bakul makanan misalnya.

“Pusat ini juga harus dijadikan sebagai pusat pengumpulan data maklumat dimana rakyat yang terhimpit dengan kesusahan akibat PKP ini boleh mendapatkan bantuan terus di Pusat Hentian Setempat tanpa karenah birokrasi politik,” jelasnya.

Kelapan, kerajaan harus serius dalam menambah hospital medan serta Pusat Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) diseluruh negara.

Malah, aset-aset kerajaan seperti Kem Wawasan Negara, pusat-pusat latihan dan akademi juga harus ditukar fungsi menjadi PKRC dalam usaha mengurangkan beban hospital kerajaan dan swasta ketika ini.

Tambahnya, PKP 3.0 ini seharusnya tegas meliputi semua sektor bagi kesejahteraan dan kesihatan negara.

“Pendek kata, biar rakyat derita seketika tetapi hasilnya merangkumi kesejahteraan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab mutlak kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat sewaktu PKP 3.0 ini. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply