Home Semasa COVID-19: Sarawak agih bantuan makanan kepada individu dikenakan kuarantin di rumah

COVID-19: Sarawak agih bantuan makanan kepada individu dikenakan kuarantin di rumah

by Bernama

KUCHING, 22 Mei – Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengagihkan bantuan makanan kepada individu yang dikenakan perintah kuarantin COVID-19 di rumah bermula 24 Mei ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata bantuan itu hanya untuk individu yang menerima arahan kuarantin di rumah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya penerima bantuan akan menerima satu kupon bersama dengan perintah kuarantin yang dikeluarkan KKM.

Katanya kupon itu boleh digunakan untuk mengambil makanan tersebut melalui kaedah pandu lalu di Pusat Sehenti COVID-19 atau pihak JKM sendiri akan menghantar terus bantuan itu ke rumah penerima mengikut situasi.

“Kadar bantuan bernilai RM50 seorang untuk tempoh 14 hari maksimum.

“Barangan makanan yang akan diagihkan merupakan makanan asas seperti beras, minyak masak, biskut, gula dan garam,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Sehenti COVID-19 di Dewan Masyarakat Kuching di sini hari ini. – BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply