Home Semasa Sultan Johor titah Ahli Parlimen, ADUN adakan mesyuarat bendung COVID-19

Sultan Johor titah Ahli Parlimen, ADUN adakan mesyuarat bendung COVID-19

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak COVID-19 dan kesannya kepada penduduk negeri berkenaan.

Baginda bertitah, semua anggota Parlimen dan ADUN Johor perlu berperanan dalam membendung penularan wabak dan membantu mereka yang terkesan.

“Sejak kebelakangan ini, negeri Johor mencatatkan kes positif COVID-19 yang semakin tinggi. Merujuk kepada kes dilaporkan semalam, Johor telah mencatatkan sebanyak 699 kes,

“Saya sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini,

“Namun saya rasa khidmat Ahli Parlimen dan ADUN di Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini,” titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, Baginda menyeru agar satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan di kalangan semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Melalui perbincangan ini, semua Ahli Parlimen dan ADUN boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak COVID-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bangsa Johor,” titahnya.

Sehingga semalam, Johor mencatatkan 699 kes baharu pesakit akibat COVID-19. Penambahan pesakit tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri tersebut meningkat kepada 51,916 kes dengan 178 kematian. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply