Home Semasa Mesyuarat khas PBB bincang isu Palestin malam ini

Mesyuarat khas PBB bincang isu Palestin malam ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat akan mengadakan satu sesi khas Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi membahaskan mengenai situasi terkini kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin, malam ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sesi tersebut dilaksanakan susulan desakan dan usaha berterusan rakyat Malaysia yang menekan komuniti dunia serta mengecam tindakan kejam rejim Zionis Israel.

“Alhamdulillah, usaha berterusan rakyat Malaysia menekan komuniti dunia serta mengecam kekejaman rejim Zionis Israel secara maya tidak sia-sia,

“Keberkesanan desakan dan tekanan yang dilakukan Malaysia ini turut diakui sendiri Presiden Persatuan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) yang menyatakan rakyat Malaysia telah berjaya mengubah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Israel,” katanya dalam hantaran di medaia sosial rasminya.

Pada masa yang sama, Hishammuddin berkata, keputusan UNGA juga antara lain adalah hasil daripada desakan pemimpin tiga negara Asean iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia yang dilaksanakan baru-baru ini.

“Inilah kekuatan apabila semua memainkan peranan dan bersatu padu, dari pihak dan kementerian saya, Kementerian Luar Negeri telah menggunakan setiap ruang bagi mendapatkan resolusi kolektif organisasi-organisasi pelbagai hala,

“Ini termasuklah desakan tegas kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar berhenti membisu sebaliknya bertindak segera mengikut 6 syor Malaysia serta menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengkaji semula perancangan menempatkan pasukan bersenjata PBB bagi melindungi rakyat Palestin,” ujarnya.

Tambahnya, UNSC jelas gagal mencapai kesepakatan walaupun sudah 3 kali bersidang atas sebab kuasa veto satu negara sahaja.

“Seperti saya sebut sebelum ini, kekurangan azam politik organisasi-organisasi pelbagai hala ini tidak boleh terus dijadikan alasan untuk mengabaikan tindakan penjajahan Zionis Israel yang semakin berleluasa,

“Cukup-cukuplah masyarakat antarabangsa berdiam diri. Apa yang berlaku sekarang jenayah perang. Apa yang berlaku sekarang ialah jenayah terhadap kemanusiaan. Ia mesti dikecam dan dihentikan,” jelasnya.

 

Related Articles

Leave a Reply