Home Semasa Penggunaan katil ICU COVID-19 di Lembah Klang hampir 90 peratus

Penggunaan katil ICU COVID-19 di Lembah Klang hampir 90 peratus

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Peningkatan kes-kes secara mendadak sejak kebelakangan ini telah menyebabkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pesakit COVID-19 di Lembah Klang mencecah 89 peratus sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 di seluruh negara pula mencecah 74 peratus.

“Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil COVID-19 ICU melebihi 80 perastus,” katanya dalam hantaran di media sosial miliknya.

Beliau berkata, hospital COVID-19 yang terdapat di negara ini telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit dengan mengubah fungsi wad biasa.

“Walau bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan,

“Peningkatan kes secara mendadak kebelakangan ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” tambahnya.

Semalam, Malaysia merekodkan kes kematian tertinggi akibat jangkitan COVID-19 iaitu sebanyak 47 kes, berbanding 45 kes kelmarin.

Manakala, sebanyak 4,865 kes baru direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 479,421 kes. –airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply