Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM mahu tambah kekuatan di ESSZONE, cegah jenayah rentas sempadan

ESSCOM mahu tambah kekuatan di ESSZONE, cegah jenayah rentas sempadan

by Bernama

TAWAU, 18 Mei – Pihak ESSCOM mengemukakan cadangan kepada kerajaan, untuk menambah satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Lahad Datu, selain satu trup komando VAT69 dan Unit Tindakan Khas bagi Sandakan serta Semporna.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata cadangan itu bertujuan memastikan tahap keselamatan di kawasan daratan serta perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), sentiasa pada tahap tertinggi, seterusnya mengelakkan ia daripada dicerobohi penjenayah rentas sempadan.

“Untuk PGA ini, kita rancang dijadikan dua briged iaitu Briged Timur ESSCOM di Lahad Datu dan Briged Barat di Kota Kinabalu, yang mana setiap briged mempunyai tiga batalion di bawahnya.

“Perkara ini kita sudah kemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan, kerana perairan ESSZONE boleh ditembusi dengan jangka masa antara 20 hingga 30 minit dari Indonesia atau Filipina,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Selain itu, Ahmad Fuad berkata, kawalan keselamatan di ESSZONE juga perlu diperkukuhkan dengan penambahan radar berteknologi tinggi, aset bot bagi Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, serta penambahan pos kawalan keselamatan air di barisan hadapan.

“Ancaman itu sentiasa ada, sebab itu ‘pagar’ di ESSZONE perlu sentiasa diperkukuhkan, kerana ia berjiran dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan ini perlu dipandang serius.

“Misalnya berlaku jenayah di Kandoangan dan Simanggaris di Kalimantan, Indonesia maka jenayah berpotensi lebih serius di kawasan darat yang terletak bersempadan, iaitu daerah Kalabakan, seterusnya merebak ke Nabawan serta Long Pasia, Sipitang,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, kerjasama antara ESSCOM dengan Filipina dan Indonesia berkaitan perisikan banyak membantu, kepada usaha menangani pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk wang tebusan (KFR), serta penyeludupan dadah.

“Perkongsian maklumat risikan antara pegawai risikan membolehkan pemantauan elemen KFR, dan seterusnya pintasan di laut dapat dilakukan secepat mungkin, selain mengekang kes-kes penyeludupan dadah,” katanya.– Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply