Home Semasa 132 rakyat Malaysia dari India selamat tiba di KLIA

132 rakyat Malaysia dari India selamat tiba di KLIA

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 12 Mei – Misi repatriasi membawa pulang rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai, India, selamat tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1 pagi tadi.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, misi yang membawa pulang seramai 132 individu iaitu seramai 117 orang rakyat Malaysia dan 6 orang tanggungan serta seorang pemegang status penduduk tetap Malaysia.

“Misi repatriasi yang dilaksanakan dengan menggunakan pesawat sewaan khas Malindo Air ini turut membawa pulang 8 warga Brunei,” katanya.

Menurut Wisma Putra, semua penumpang, kru dan pegawai-pegawai barisan hadapan yang terbabit dalam menjayakan misi ini adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Antaranya, mereka perlu mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 yang disahkan negatif dalam tempoh tidak lebih daripada 72 jam sebelum pelepasan; ketibaan penerbangan repatriasi ini secara berasingan di Unit Kecemasan Udara, juga dikenali sebagai Air Disaster Unit (ADU),

“Pemeriksaan dan tapisan kesihatan yang ketat oleh KKM sewaktu ketibaan,” ujarnya.

Selain itu, Wisma Putra berkata, semua mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan dan pemantauan tahap kesihatan secara berterusan dilakukan terhadap semua penumpang termasuk kru serta pegawai barisan hadapan yang terbabit, oleh KKM sehingga tamat tempoh kuarantin.

Katanya, kejayaan misi ini hasil kerjasama erat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai serta agensi-agensi lain yang berkaitan.

“Kementerian Luar mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan misi ini,

“Kementerian akan terus memantau situasi pandemik COVID-19 di India dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” tambahnya.

Pada 6 Mei lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam kenyataan berkata, kerajaan melalui kerjasama Kementerian Luar, NADMA dan KKM akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India, susulan situasi gelombang kedua penularan pandemik COVID-19 di negara tersebut yang kini berada pada tahap amat membimbangkan.

Beliau berkata, selain rakyat Malaysia, misi ini juga akan membawa balik petugas Home Based Staff (HBS) serta tanggungan mereka daripada pelbagai agensi dengan pesawat tersebut.

Tambahnya, misi repatriasi kali ini tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah tersebut masih terkawal. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply