Home Semasa Pejabat kerajaan beroperasi penuh sepanjang PKP

Pejabat kerajaan beroperasi penuh sepanjang PKP

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 11 Mei – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan pejabat kerajaan kekal beroperasi sepenuhnya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang bermula esok hingga 7 Jun 2021.

Beliau dalam kenyataan berkata, pengoperasian ini bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas berdasarkan garis panduan yang ditetapkan seperti Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 12 Januari 2021.

“Ketua Jabatan hendaklah menggunakan hemat dan kebijaksanaan dalam merancang keperluan sumber manusia demi memastikan kehadiran kakitangan ke pejabat dapat diminimumkan melalui sistem penggiliran, serta hendaklah mengeluarkan Arahan Dalaman dengan memperincikan keutamaan mengikut sektor jabatan masing-masing,

“Bagi pengawai yang tidak perlu hadir bertugas di pejabat, pegawai berkenaan adalah diarahkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) mengikut peraturan dan garis panduan yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020: Dasar Bekerja Dari Rumah,” ujarnya.

Mohd Zuki menegaskan perkhidmatan awam negara akan terus menjadi tunjang utama dalam memastikan jentera pentadbiran kerajaan kekal beroperasi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan gelombang ketiga pandemik COVID-19. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply