Home Pertahanan dan Keselamatan LTAT umum dividen 3.5 peratus

LTAT umum dividen 3.5 peratus

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan peningkatan dividen kepada 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding dengan 2.5 peratus pada tahun 2019.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan yang dicapai oleh LTAT bagi tahun 2020.

“Lebih-lebih lagi kerana ianya dicapai walau dengan persekitaran ekonomi yang mencabar berikutan pandemik COVID-19, yang menyebabkan pergolakan ekonomi serta turun naik pasaran pada 2020,

“LTAT turut terkesan dengan dividen lebih rendah yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan bagi tahun tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun terkesan, LTAT masih mampu mengisytiharkan peningkatan dividen bagi 2020, berikutan untung bersih yang lebih tinggi mencecah RM229 juta berbanding RM92.8 juta pada 2019.

“Saya dimaklumkan bahawa faktor utama yang menyumbang kepada keputusan LTAT yang lebih baik ini adalah kerana kejayaan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi melalui Pelan Transformasi LTAT,

“Ini membolehkan Tabung untuk mencatatkan peningkatan keuntungan tertahan berjumlah RM287.5 juta selepas bayaran dividen berjumlah RM310.7 juta, berbanding dengan keuntungan tertahan berjumlah RM63.5 juta pada 2019,” ujarnya.

Katanya, kerajaan sedar bahawa kebajikan barisan hadapan, terutamanya anggota angkatan tentera yang sedang berkhidmat, harus terus menjadi keutamaan.

“Oleh itu, kami berbesar hati untuk menyokong LTAT bagi memastikan peningkatan dividen bagi tahun tersebut.

“Kementerian Pertahanan, bagi pihak semua anggota angkatan tentera yang menerima manfaat daripada pembayaran dividen amat menghargai sokongan yang diberikan oleh kerajaan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata LTAT akan terus memperkasakan prospeknya melalui pelan transformasi yang sedang digiatkan, bertumpu kepada pengukuhan dan pengimbangan semula portfolio pelaburan serta pada masa yang sama menambahbaik struktur organisasi, pengurusan risiko, amalan tadbir urus korporat serta pembangunan sumber manusia.

“Tabung kini berada dalam tahun ketiga perjalanan transformasi ini, di mana 41 dan 53 inisiatif masing-masing berjaya dilaksanakan pada 2019 dan 2020,

“Tambahan 77 inisiatif lagi akan dilaksanakan pada 2021, dengan matlamat untuk memperkukuh operasi dan prestasi kewangan LTAT serta anak-anak syarikat,

“Saya juga sedia maklum bahawa Rangkakerja Perumpukan Aset Strategik LTAT telah diluluskan oleh Lembaga pada November 2020, dengan matlamat untuk memberi pulangan jangka panjang yang optimum dengan tahap risiko yang bersesuaian,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, pada tahun ini, LTAT telah memulakan proses penstrukturan semula portfolio pelaburannya secara berperingkat, dengan fokus kepada instrumen pendapatan tetap serta mempertingkatkan pelaburan ekuiti awamnya.

Sehingga 31 Disember 2020, jumlah aset di bawah pengurusan LTAT berada pada RM9.6 bilion. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply