KAPIT, 9 Mei – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibuka di Dewan Masyarakat Melayu Kapit bagi membantu Hospital Daerah merawat pesakit bukan COVID-19 mula beroperasi, esok.
Hospital Medan ATM ini menempatkan 7 pegawai dan 35 pembantu perubatan serta turut dibantu oleh staf perubatan dari Hospital Daerah Kapit yang mampu merawat 40 pesakit pada satu masa.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, pasukan perubatan ATM akan terus bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Beliau berharap dengan penubuhan Hospital Medan ATM ini dapat memulihkan semangat penduduk setempat yang terkesan serta mengembalikan Kapit bebas dari jangkitan COVID-19.
![](https://www.airtimes.my/wp-content/uploads/2021/05/182255736_5466401530097831_2946459574164495946_n.jpg)
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, ATM akan terus komited memberikan bantuan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan. Foto: 1 Div
βATM akan terus komited memberikan bantuan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang memerlukan dan bantuan penubuhan Hospital Medan ini kepada kerajaan Sarawak bagi membuktikan bahawa ATM sentiasa mengambil berat tentang perkembangan semasa ancaman COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara,β jelasnya.
Sebelum itu, Dzulkafli mengiringi Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang bersama Panglima 9 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar bagi meninjau perkembangan semasa penubuhan Hospital Medan ATM di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, semalam.
Dalam tinjauan itu, mereka diberi taklimat pengoperasian oleh Pegawai Memerintah 1 Batalion Ubat selaku Komander Misi Hospital Medan ATM Kapit, Leftenan Kolonel Dr Saiful Ju Ahmad.
Terdahulu, pengubahsuaian Dewan Masyarakat Melayu Kapit kepada Hospital Medan ATM melibatkan 7 Pegawai dan 69 anggota termasuk 13 anggota daripada pasukan Rejimen 510 Askar Wataniah serta daripada agensi awam dan swasta.
Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga turut membantu memudahkan proses penubuhan hospital medan ini dengan mengkoordinasi penerbangan membawa aset perubatan dari Kuching dan Kuala Lumpur ke Kapit. β airtimes.my
![](https://www.airtimes.my/wp-content/uploads/2021/05/182075644_5466402090097775_6829630817874866448_n-1024x683.jpg)
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa mengiringi Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang meninjau perkembangan semasa penubuhan Hospital Medan ATM di Dewan Masyarakat Melayu Kapit. Foto: 1 Div