Home Pertahanan dan Keselamatan Program 1 Tentera 1 Al-Quran penuhi keperluan kerohanian anggota muslim ATM

Program 1 Tentera 1 Al-Quran penuhi keperluan kerohanian anggota muslim ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Program 1 Tentera 1 Al-Quran (1T1Q) anjuran Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) merupakan inisiatif untuk memenuhi keperluan kerohanian anggota muslim Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, program 1T1Q ini juga merupakan kerjasama bersama Yayasan Restu Malaysia yang bermatlamat untuk menganugerahkan senaskah mashaf Al-Quran kepada setiap anggota tentera muslim bagi menyemarakkan penghayatan Al-Quran.

Sesi penyerahan naskah Al-Quran sebagai simbolik kepada program 1T1Q telah disempunakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma Pertahanan, semalam.

Program ini juga sejajar dengan ‘Program Gerak Gempur Penghayatan Al-Quran’  yang terkandung dalam pakej Plan Strategik KAGAT.

“Antara objektif program yang digariskan ialah memperkasakan pembudayaan bacaan Al-Quran dan penghayatan isi kandungannya di kalangan warga ATM agar mereka mendapat bimbingan dan suluhan hidayah dari kitab suci yang amat mulia ini,

“Di samping itu juga, ia menyemarak semangat juang anggota ATM dan memantapkan jati diri mereka untuk berpaksikan ajaran Al-Quran bagi mengukuh nilai kerohanian seperti amanah, berani dan berintegriti sejajar dengan tuntutan dan pedoman Al-Quran,

“Ia juga bermatlamat untuk membina generasi Al-Quran, khususnya di kalangan perwira dan Perajurit Muda negara di semua perkhidmatan seawal mereka memasuki alam ketenteraan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sasaran utama program ini ialah Pegawai Kadet dan Graduan serta Perajurit Muda muslim di semua perkhidmatan ATM bagi setiap kali pengambilan.

“Konsep pelaksanaan program ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama,  Al-Quran terbitan khas dengan kerjasama Yayasan Restu dan lain-lain agensi kerajaan dan swasta,

“Ia akan diagih sebaik sahaja mereka melapor diri ke Pusat Latihan Asas masing-masing agar sepanjang latihan, mereka sudah dibudayakan dengan Al-Quran di bawah bimbingan pegawai dan anggota KAGAT yang bertugas di semua pusat latihan asas di ketiga-tiga Perkhidmatan,” ujarnya.

Program ini merupakan program berterusan setiap kali pengambilan pegawai dan anggota perajurit muda ATM. Berasaskan statistik pengambilan di semua Perkhidmatan, jumlah pegawai kadet dan perajurit muda ATM ialah seramai 5,400 setahun.

“Manakala peringkat kedua ialah pegawai dan anggota dalam Perkhidmatan. Bagi pegawai anggota dalam perkhidmatan, pengagihan Al-Quran akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perkhidmatan masing-masing tertakluk kepada peruntukan kewangan bagi perolehan mashaf Al-Quran,

“Anggaran keseluruhan pegawai dan anggota muslim ATM bagi semua perkhidmatan ialah 90,000 orang. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan daripada pelbagai sumber yang akan diusahakan daripada semasa ke semasa,” jelasnya.

Tambahnya, Yayasan Restu yang merupakan sebuah yayasan perintis penerbitan Al-Quran Mushaf Uthmani terbesar di Malaysia yang berpusat di Taman Seni Islam, Shah Alam dan mempunyai kilang percetakan Al-Quran di Putrajaya yang juga kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Selain itu, sumber Al-Quran juga dirancang perolehannya melalui Syarikat Karangkraf dan melalui cetakan Tabung Zakat ATM berjumlah 10,000 naskhah setiap tahun.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Yadi, Pengarah KAGAT, Mej Jen Dato Nawawi Daud dan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa.

 

 

Related Articles

Leave a Reply